KUCHING: Sebanyak tiga bahagian di Sarawak menghadapi gangguan bekalan air.
Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak di laman Facebooknya, kawasan terlibat ialah Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Limbang.
Bagi gangguan bekalan air di Bahagian Serian bermula hari ini hingga 12 Julai ini, 9.00 malam hingga 5.00 pagi, kawasan terjejas ialah seluruh kawasan di sepanjang Jalan Kuching Serian dari Batu 24 sehingga Batu 30, Kampung Panchor Dayak, kawasan di sepnajang Jalan Tanah Merah, kawasan di sepanjang Jalan Palah dan kawasan sekitarnya.
JBALB menerusi kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air adalah bagi memberi laluan kepada aktiviti pengisian air di tangki air Bukah yang terletak di Jalan Kuching Serian Lama. Kawasan-kawasan sekitar akan mengalami gangguan tekanan air rendah sepanjang tempoh ini.
Selain itu, kawasan terjejas bagi Bahagian Sri Aman ialah di Jumbit, Spad, Skim Melugu dan kawasan berdekatan.
Gangguan bekalan air atas faktor member ruang kepada pihak kontraktor pihak JBALB untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih paip 6” berdekatan kawasan Skim Melugu sejak 9.30 pagi tadi hingga 6.00 petang, hari ini.
Sementara itu di Bahagian Limbang kawasan terjejas bekalan air sejak 8.00 pagi tadi hingga 8.00 malam hari ini melibatkan seluruh Daerah Lawas kecuali Jalan Punang, Kuala Lawas dan Merapok.
Gangguan disebabkan kebocoran paip jenis MSCL bersaiz 700mm. Bekalan air akan ditutup sepanjang masa gangguan.
Dalam kenyataan, JBALB Sarawak turut menasihatkan orang ramai di kawasan terjejas untuk menyimpan bekalan air yang secukupnya bagi keperluan sepanjang tempoh gangguan tersebut.
JBALB Sarawak pada masa sama memastikan gangguan bekalan air akan dapat diselesaikan dengan kadar segera dan akan kembali pulih secara berperingkat di kawasan terjejas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan mengenai gangguan bekalan air bagi bahagian, daerah dan kawasan terlibat dikehendaki menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262 211.