KUCHING: Seramai 204 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing diperiksa dan 152 termasuk tiga daripadanya anggota polis berpangkat ASP, Sarjan dan Lans Koperal antara suspek ditahan positif dadah di sebuah pusat hiburan Padungan.
Kesemua suspek ditahan iaitu 181 warga tempatan melibatkan 122 lelaki dan 59 perempuan selebihnya 23 perempuan warga asing dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan China (14 daripada mereka positif dadah) berusia 19 hingga 54 tahun.
Kegiatan sindiket didalangi warga asing dan tempatan itu terbongkar susulan penahanan lapan individu dipercayai pengedar dadah menerusi operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 25 Jun lalu sekitar 1.20 hingga 6.00 petang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media sebentar tadi berkata, dadah dan aset disita bernilai RM1.4 juta.
Menerusi penahanan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk 12 bungkusan serbuk disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 540 gram.
Salah seorang daripada lapan pengedar yang ditahan adalah seorang warga emas yang bekerja di pusat hiburan dan membekalkan dadah kepada pelanggan.
“Sebanyak 45 paket jus berisi serbuk disyaki eskasty (anggaran berat 2,085.90 gram), 63 biji pil disyaki dadah jenis escasty seberat 25.20 gram, satu paket plastik berisi chumbs disyaki dadah jenis Ketamin (anggaran berat 20 gram) dirampas daripadanya.
“Kesemua dadah milikinya dianggarkan RM197,458 dan boleh digunakan oleh 8,877 penagih dadah.
“Pada masa sama, polis juga merampas harta benda pengedar bernilai RM1,171,490 termasuk empat kenderaan iaitu Toyota Camry, Land Rover, Lexus, BMW, barang kemas emas, beg tangan berjenama, telefon bimbit, jam tangan berjenama Rolex dan wang tunai RM30,650.
“Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut dan akan berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka yang didapati positif akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd Azman menegaskan bahawa polis akan meneruskan serbuan sedemikian dan pasti akan mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah.
Beliau menggesa orang ramai membantu menyalurkan maklumat bagi menghapuskan ancaman dadah.
Turut hadir pada sidang media, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Wong Ing Fung.
Oleh Connie Chieng