SIDANG MEDIA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong 2022 di Masjid Al-Kawthar, kelmarin.
GEDONG: Tidak perlu membuat perjanjian yang baharu kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas kepada pembentukan Malaysia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, jika ada perjanjian baharu ia bermaksud anda membatalkan perjanjian lama.
“Saya rasa menteri kita telah membuat kenyataan dan dari sudut negeri Sarawak, itu adalah asas kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menubuhkan negara dan ini telah dipersetujui oleh para pemimpin kita dahulu.
“Apa yang berlaku sekarang ialah kebanyakan daripada syarat-syarat yang telah dipersetujui telah terhakis, ini apa yang kita buat sekarang untuk membetulkan syarat-syarat tersebut.
“Tidak payah kita membuat perjanjian baharu, kalau perjanjian baharu ini dibuat bermaksud anda membatalkan perjanjian lama. Kalau membatalkan perjanjian lama pembentukan Malaysia ini akan dipersoalkan, kerana ia adalah asas…sebab itu saya rasa apa yang disebut oleh Tok Mat sepatutnya tidak patut disebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban DUN Gedong 2022 di Masjid Al-Kawthar di sini pada Ahad.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, apa yang Sarawak kehendaki ialah pelaksanaan syarat-syarat yang termaksub dalam MA63 dan juga hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) itu sahaja yang patut laksanakan.
“Tetapi kerajaan persekutuan sekarang ini berunding berkait dengan perkara tersebut, jadilah biarlah kita berbincang dan saya percaya pada akhirnya kita dapat membuat keputusan yang dikehendaki oleh Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ketika ditanya mengenai apakah tuntutan yang turut diminta oleh Sabah dan Sarawak, Abang Johari berkata is berkaitan dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Satu yang agak baharu sekarang ini dalam perundingan ialah Perkara 112D sumbangan modal kerana dalam 112D ini apa yang kita kehendaki ialah ia mesti mengikut satu formula iaitu formula daripada pendapatan diterima daripada negeri Sarawak dan mungkin kita cari peratusan yang bagus balik kepada negeri Sarawak untuk 112D.
“Yang lain adalah dari sudut pentadbiran sahaja. Allhamdulilah…saya sudah ada maklum balas di mana dalam IGC kita mesti ada wakil di Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan sekarang ini mereka telah meminta kita menghantar nama untuk wakil dalam LHDN.
“Ini bermaknanya kalau LHDN kita ada wakil kita tahu berapa pendapatan dan kita tahu berapa jumlah yang akan diberikan kepada kita (Sarawak),” ujarnya
Pada masa yang sama, Abang Johari berkata kerajaan negeri tidak mahu juga Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan) diberi tekanan.
“Ia mesti mengikut formula menang-menang antara kerajaann persekutuan dengan kita (Sarawak) kalau keadaan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan tidak begitu baik kita pun tidak boleh juga memberikan tekanan kepada mereka.
“Tetapi jika berdasarkan formula ia senang,” katanya.
Sementara itu, beberapa pemimpin dan parti di Sabah juga telah menyuarakan pendapat mereka menolak cadangan untuk melaksanakan MA63 baharu.
Antaranya, Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyifatkan cadangan itu tidak masuk akal dan MA63 menjadi rujukan penting dan asas untuk membincangkan isu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Oleh JEAKQLEYN YACHO