KUALA LUMPUR: Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang bermula sejak awal 2018 tidak memberikan impak yang besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS pada 2019 ialah sebanyak RM164.45 bilion, berkembang pada kadar 5.6 peratus berbanding 2018, manakala nilai eksport Malaysia ke AS berjumlah RM95.78 bilion iaitu kenaikan 5.5 peratus dan import pula bernilai RM68.67 bilion, meningkat 5.7 peratus
Sementara itu jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada RM315.20 bilion pada 2019, manakala eksport Malaysia ke China pada tempoh yang sama bernilai RM139.61 bilion peningkatan 0.3 peratus dan import bernilai RM175.59 bilion, meningkat 0.1 peratus.
“Namun begitu, prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan sedikit kemorosotan bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan sebanyak tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.
“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik Covid-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.
Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan pandemik tersebut.
“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.
Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan Covid-19 yang masih berterusan, MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia. – Bernama