
LAWAS: Lantai sebuah rumah yang tiba-tiba runtuh, hampir meragut enam nyawa dalam kejadian di Kampung Banting dekat sini awal pagi tadi.
Enam keluarga yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan insiden ngeri itu apabila lantai rumah mereka runtuh menghempap sebuah kereta dan motosikal yang berada di bawah rumah struktur kayu itu.
Menurut saksi yang juga seorang mangsa, Nora Julaihee, kejadian berlaku sekitar jam 2.00 pagi dengan kedengaran rumah berbunyi aneh diikuti dengan jatuhan mengejut sehingga menyebabkan kakinya tertimpa almari pakaian dalam bilik tidurnya.
Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan juga dengan bantuan jiran di kawasan berhampiran.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Lawas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lawas turut tiba ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jiran mangsa.

Nora mengalami kecederaan pada bahagian kaki, manakala ahli keluarga lain selamat.
Semua mangsa ditempatkan di rumah keluarga di Kampung Banting dan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Cawangan Bukit Sari bersama Perkim Cawangan Lawas yang tiba ke lokasi dan menemui keluarga mangsa untuk menghulurkan bantuan awal.
Timbalan Ketua Cawangan PBB Bukit Sari, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa telah mengerahkan Pusat Khidmat PBB Bukit Sari bertindak menghulurkan bantuan awal berupa bantuan kewangan dan makanan asas kepada keluarga mangsa.
Pihak PBB juga sedang menunggu laporan rasmi pihak bomba dan bersama PDRM Lawas untuk tindakan susulan.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati struktur rumah terutama tiang rumah berkenaan mengalami keretakan teruk selain bahagian bawah tiang juga reput dimakan anai-anai.
Setiausaha PBB Cawangan Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmat mengesahkan rumah berkenaan pernah dibaik pulih melalui Program Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) dan juga pendawaian semula oleh Pusat Giat MARA Lawas pada pertengahan tahun lalu.
Punca awal dipercayai berpunca daripada struktur tiang utama rumah yang sudah reput dan keadaan cuaca pada malam kejadian adalah baik.
Oleh Adeng Edrus