Tiada sistem bintang pemaju, senarai projek sakit jadi rujukan pembeli

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee merakam kenangan bersama penjaja dari Pasar Sentral Sibu, Taman Rejang serta Taman Selera Muhibbah pada Majlis BBQ Penjaja Pasar Sentral Sibu di Royal Wonderful Restaurant, Lorong Ulu Sungai Merah 14B, di Sibu, semalam.

SIBU: Sarawak belum melaksanakan sistem penarafan bintang terhadap pemaju perumahan, sebaliknya senarai projek perumahan sakit digunakan sebagai rujukan orang awam untuk mengetahui rekod projek bermasalah.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kementeriannya ketika ini tidak mengelaskan pemaju mengikut penarafan satu, dua atau tiga bintang mahupun kategori tertentu.

“Kami tidak membuat penarafan sedemikian. Kami hanya mengenal pasti projek perumahan yang mempunyai masalah dan dikategorikan sebagai projek perumahan sakit.

“Jadi, kami tidak memberikan penarafan satu bintang, dua bintang, tiga bintang atau sebagainya. Buat masa ini, kami belum melaksanakan sistem sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis BBQ Penjaja Pasar Sentral Sibu di Restoran Royal Wonderful, Lorong Ulu Sungai Merah 14B, di sini, semalam.

Menurutnya, kementerian dari semasa ke semasa mengemas kini senarai projek perumahan sakit menerusi laman sesawang kementerian di bahagian MyHousing.

Katanya, senarai itu bukan sahaja memaparkan nama projek yang bermasalah, malah turut menyatakan nama pemaju yang bertanggungjawab terhadap pembangunan berkenaan.

“Ini bagi membolehkan orang awam mengetahui projek-projek yang dikategorikan sebagai projek perumahan sakit serta pihak yang bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha kementerian memastikan ketelusan dan akauntabiliti, selain membantu bakal pembeli mendapatkan maklumat berkaitan projek perumahan sebelum membuat keputusan.

Tiang menambah status sesuatu projek dalam senarai berkenaan turut akan disemak dari semasa ke semasa.

“Projek yang berjaya diperbetulkan masalahnya, disiapkan atau kembali mengikut jadual yang dijanjikan kepada pembeli akan dikeluarkan daripada senarai projek perumahan sakit,” katanya.

Oleh Tarani Lanting