KABONG: Maklumat awal sehingga petang tadi mendapati tiada sebuah parti akan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan, sekali gus memerlukan sokongan daripada parti-parti lain.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu masih berlaku sedangkan esok hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Hari ini, setakat pukul 3.15 petang… saya diberitahu tiada sebuah parti pun dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan sedangkan esok sudah hari orang turun mengundi.
“Mahu tidak mahu mereka (parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia) memberi ‘salam’ dengan GPS,” katanya merujuk kepada kemungkinan gabungan parti di Semenanjung merayu sokongan GPS nanti bagi mencukupkan jumlah kerusi untuk menubuh kerajaan baharu.
“Jadi kalau nak salam, salam…. kita mesti kuat dan kita akan nyatakan (syarat) semua kehendak Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Penjaja Kabong, di sini, petang ini.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, kemenangan besar GPS bukan sahaja menjadikan suara ‘anak Sarawak’ lebih kuat di Dewan Rakyat, malah ia bagaikan ‘jantung’ negara demi masa depan Malaysia.
Katanya, GPS boleh menjadi ‘pembuat keputusan’ untuk menentukan siapa yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 nantri.
Justeru, katanya, GPS juga perlu diberi mandat kuat kerana ‘suara kuat’ di Parlimen akan memperjuangkan usaha mengembalikan hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Abang Johari berkata sokongan yang diberikan kepada GPS bakal mempertahankan budaya, kemakmuran dan keharmonian pelbagai kaum yang ada di negeri ini.
“Kita tidak mahu parti di Malaya untuk bertapak di Sarawak. Kita boleh bekerjasama dengan mereka di Semenanjung namun, ‘acuan’ nya mestilah acuan Sarawak.
“Kita mesti pertahankan negeri kita dan oleh kerana itu, politik kita juga mesti diatur dengan sebaiknya,” katanya.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dan calon GPS di Parlimen Saratok, Giendam Jonathan Tait.
Oleh RYNNA SHA’ERRA