Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Tiada gangguan Operasi Loji Air Salim, bekalan air kekal selamat
  • Tengah
  • WILAYAH

Tiada gangguan Operasi Loji Air Salim, bekalan air kekal selamat

Utusan Sarawak 8 hours ago

SIBU: Operasi Pengambilan Air Salim kekal berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan laporan mengenai penemuan bangkai haiwan yang didakwa ditemui di sebuah anak sungai berhampiran kawasan Salim-Stabau.

Sarawak Water dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mengambil maklum laporan tersebut dan segera menggerakkan pasukan operasi ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta penilaian mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Siasatan itu bertujuan mengesahkan keadaan sebenar di lokasi serta menilai kemungkinan kesan terhadap kualiti air dan operasi bekalan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa atau insiden dikesan dalam kawasan operasi Pengambilan Air Salim mahupun mana-mana kemudahan milik Sarawak Water di kawasan berkenaan.

Lokasi yang dilaporkan itu juga didapati berada di luar kawasan operasi Pengambilan Air Salim dan tidak melibatkan sebarang aset atau infrastruktur milik syarikat utiliti tersebut.

Menurut kenyataan itu, operasi Pengambilan Air Salim kekal normal tanpa sebarang kesan terhadap keselamatan, kualiti atau kesinambungan bekalan air terawat kepada pengguna.

Sarawak Water turut memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) untuk makluman serta tindakan lanjut yang difikirkan perlu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pemantauan rapi akan terus dijalankan di kawasan sekitar bagi memastikan integriti sistem bekalan air sentiasa terpelihara.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa aspek kualiti air kekal menjadi keutamaan dengan proses pemantauan dan rawatan air dilaksanakan secara berterusan mengikut piawaian operasi serta keperluan kawal selia yang ditetapkan.

Sarawak Water juga memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan yang berpotensi menjejaskan pengguna akan dimaklumkan segera menerusi saluran komunikasi rasminya.

Pada masa sama, syarikat itu menghargai keprihatinan orang ramai terhadap isu berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan perkhidmatan bekalan air yang selamat, berkualiti dan boleh dipercayai kepada rakyat Sarawak.

Continue Reading

Previous: Pengamal media hayati budaya Bidayuh menerusi pengalaman secara langsung di Kampung Mujat
Next: Pasar Malam Bintulu terus meriah, Jambatan Tun Taib Mahmud jadi tarikan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.