PESURUHJAYA Perdagangan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
KUALA LUMPUR: Penganjuran Program ‘The Taste of Malaysia’ yang menyajikan makanan dan minuman (F&B) negara ini di Dublin, Ireland, ternyata berjaya menarik minat ketara daripada kalangan pengguna Ireland.
Acara yang berlangsung dari 1-31 Mei, 2022, diadakan dengan kerjasama Asia Market, pembekal makanan Asia terbesar di Ireland, selain mendapat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Dublin.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran pasaran mengenai F&B Malaysia selain mengukuhkan lagi kehadiran jenama Malaysia dalam segmen terbabit di peringkat Ireland.
Usaha selama sebulan itu dijalankan dalam format hibrid yang merangkumi promosi dalam talian dan di dua premis Asia Market di Drury Street dan Ballymount di Dublin.
Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di London, Megat Iskandar Ahmad Dassilah, berkata acara seperti demonstrasi memasak terbukti dapat menarik pengunjung premis membeli produk-produk F&B Malaysia.
“Sekarang merupakan masa yang tepat untuk mengadakan promosi ini berikutan Ireland telah kembali kepada keadaan sebelum COVID-19 dengan sekatan berkaitan tidak lagi dilaksanakan.
“Kita juga percaya gabungan usaha promosi secara dalam talian ini dapat menjana lebih banyak jualan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang bagi produk makanan Malaysia yang lain memasuki pasaran Ireland,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau juga menyifatkan kerjasama strategik ini dapat menyediakan pendekatan pemasaran yang kos efektif bagi pengeksport Malaysia dalam merebut peluang perniagaan baharu serta menjana jualan eksport lebih tinggi menerusi petunjuk jualan baharu daripada aktiviti promosi secara meluas.
Pelbagai produk keluaran 20 jenama makanan dan minuman Malaysia termasuk Dollee, Baba’s, Adabi dan Brahim’s dalam bentuk pes dan sos, makanan ringan, biskut, campuran kopi, rempah ratus, mi segera dan makanan sedia dimakan, telah diketengahkan pada acara tersebut.
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan program itu, Megat Iskandar berkata MATRADE turut melibatkan Sham Hanifa yang juga Chef Selebriti Malaysia dan televisyen yang bertumpu di Ireland dan Pempengaruh Deejay, Masakan Dalam Talian, Marcus O’Laoire bagi demonstrasi masakan secara langsung dengan menggunakan ramuan serta produk yang dijual di pasar raya itu.
“Menerusi kaedah ini, kalangan pengguna Ireland berpeluang menikmati sajian Malaysia secara terus,” katanya.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Ireland bernilai RM13.68 bilion pada 2021 manakala eksport ke negara itu mencecah RM289.5 juta bagi tempoh empat bulan pertama 2022.
Megat Iskandar berkata MATRADE akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti promosi yang dapat memperkukuh eksport syarikat-syarikat Malaysia ke pasaran global di masa depan. – Bernama