KUCHING: The Gifted Art Gallery kembali di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka dari 11 hingga 20 September ini sebagai platform mengetengahkan bakat, kreativiti dan kebolehan individu istimewa menerusi seni serta pelbagai aktiviti kreatif.
Memasuki tahun keempat penganjurannya, program anjuran bersama Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka, Hotel Waterfont Kuching dan Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Keperluan Khas Kuching (KATSN) itu bakal menampilkan karya lapan artis berbakat.
Lapan artis berkenaan ialah Dave Hwang, Steven Hwang, Rachel Lee, Kelvin Li, Alister Sim, Tommy Tie, Darryon Leong dan Damian Clarke.
Penasihat KATSN, Dato Sim Kiang Chiok berkata, program itu memberi ruang kepada bakat yang mungkin belum mendapat peluang untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Menurutnya, terdapat pelbagai bakat dalam kalangan anak-anak terbabit, termasuk dalam bidang seni lukis, nyanyian dan masakan.
“Kita tidak tahu, mungkin terdapat banyak lagi ‘berlian yang belum digilap’ yang boleh dibantu KATSN,” katanya pada sidang media The Gifted Art Gallery di Plaza Merdeka hari ini.
Beliau berkata, penganjuran di ruang awam seperti Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka juga membolehkan masyarakat melihat, mengenali dan memberikan sokongan kepada bakat yang diketengahkan.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan pada musim perayaan pertengahan musim luruh turut memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung menikmati karya dan persembahan yang disediakan.
Selain pameran seni visual, The Gifted Art Gallery turut menampilkan persembahan muzik dan tarian, bengkel kreatif serta aktiviti interaktif sepanjang tempoh penganjuran.
Antara pengisian ialah persembahan khas artis terbabit bersama ahli Kelab Bocce, persembahan piano oleh Darryon Leong dan Rachel Lee, tarian pelajar SJKC Bintawa serta persembahan tarian oleh Damian Clarke.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan sesi lukisan potret secara langsung oleh artis Fook Liew.

Program turut merangkumi Bengkel Kraf Bahan Kitar Semula pada 14 dan 18 September serta Bengkel Seni Penyembuhan pada 16 September, masing-masing dari 2.00 hingga 5.00 petang.
Majlis penutupan dan aktiviti khas pula dijadualkan pada 19 September, manakala Bengkel Membuat Tanglung akan diadakan pada 20 September sebagai acara penutup.
Sepanjang pameran, pengunjung juga berpeluang mendapatkan kuih bulan daripada Gifted Kitchen serta cenderamata yang menampilkan hasil karya artis terbabit.
Pameran itu dibuka kepada orang ramai, termasuk keluarga, rakan-rakan, peminat seni dan komuniti setempat, untuk berkunjung dan menyokong bakat yang diketengahkan sepanjang tempoh penganjuran.
Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah pada 14 September, 2.00 petang.
Oleh Adele Rissa




