GERGASI serba mantap ‘Kuching FA’ kembali menyambung semula sesi latihan semalam (Selasa).
Ia berikutan kebenaran diberikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap skuad yang terkenal dengan jolokan ‘The City Boys’ itu.
Penolong Jurulatih, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah memberitahu, sesi latihan membabitkan pemainnya diadakan di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam dan dibahagi kepada tiga kumpulan dengan tempoh masa bermula dari pukul 4.00 sehingga 6.30 petang.
“Kita mula berlatih semalam selepas mendapat kebenaran daripada pihak MFL beberapa hari lepas.
“Apa pun, sesi latihan membabitkan seramai 30 orang pemain itu tampak berbeza kerana lebih fokus kepada pembinaan kecergasan fizikal dan teknikal,” ujar beliau.
Tambahnya, tatacara corak latihan dilaksanakan dengan kapasiti sepuluh pemain untuk setiap kumpulan yang telah dibahagikan itu mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah ditetapkan.
Tambah Nurfaizal, pemain tidak boleh bersentuhan antara satu sama lain sepanjang tempoh latihan sehingga 1 Julai depan.
Terdahulu, beliau bersama barisan jurulatih yang lain menzahir rasa lega apabila pasukannya kembali menjalani rutin sebagai mana biasa untuk persiapan menyambung baki perlawanan bagi saingan Liga Premier 2020.
Meskipun dalam keadaan pergerakan pemain ketika sesi latihan yang tidak sebagai mana biasa sebelumnya.
“Kita akan pergunakan peluang yang ada ini untuk membina kembali segala apa yang terhakis pada pemain selepas tiga bulan tidak menjalani latihan secara komprehensif ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu,” jelas beliau yang percaya tiada masalah bagi pemainnya mengembalikan semua itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Iswandy Ali Hassan memberitahu, proses sanitasi gelanggang latihan (Stadium Negeri, Petra Jaya) sudah dilaksanakan Isnin lepas.
“Semua persekitaran dalam Stadium Negeri, Petra Jaya sudah melalui proses sanitasi. Ia mencakupi, bilik persalinan pemain dan sebagainya,” jelas Iswandy.
Oleh Faizal Bujang