
BANGKOK: Kerajaan Thailand memberi jaminan bahawa tiada bukti menunjukkan varian COVID-19 yang sedang menular di negara itu menyebabkan penyakit lebih teruk, sambil menggesa orang ramai terus mengamalkan langkah kesihatan asas dan mengelakkan panik yang tidak perlu.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Lalida Persvivatana berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul sedang memantau rapi situasi COVID-19 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Awam dan agensi berkaitan bagi melindungi kesihatan awam.
Beliau berkata Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) mengenal pasti NB.1.8.1, subvarian kepada varian JN.1, sebagai strain COVID-19 dominan yang sedang menular di Thailand.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa varian itu menyebabkan gejala lebih teruk atau merebak pada kadar luar biasa pantas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut DDC, meskipun jangkitan COVID-19 meningkat sejajar dengan trend bermusim, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang penularan kluster berskala besar.
Kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan dan sistem penjagaan kesihatan negara masih mampu menguruskan keadaan itu.
Lalida menggesa orang ramai supaya merujuk maklumat yang dikeluarkan agensi kerajaan dan tidak mempercayai atau berkongsi laporan yang belum disahkan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mengamalkan kebersihan diri yang baik, khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang mempunyai penyakit sedia ada dan wanita hamil.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian Jabatan Kawalan Penyakit di 1422, yang beroperasi 24 jam sehari.
Sementara itu, media tempatan Thailand melaporkan 3,642 kes COVID-19 direkodkan di Thailand antara 1 Januari hingga 23 Mei, dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh itu.
Jumlah jangkitan tertinggi direkodkan dalam kalangan individu berusia 30 hingga 39 tahun, diikuti mereka yang berusia lebih 60 tahun dan individu berusia antara 20 hingga 29 tahun.
Laporan itu turut menyatakan NB.1.8.1 merangkumi 50.95 peratus kes, sekali gus menjadikannya strain dominan yang sedang menular di negara itu. – Bernama