BELURU: Kehadiran seekor ular tiung cincin emas sepanjang kira-kira satu meter di tingkap dapur sebuah rumah di Rumah (Rh) Gomez, Ulu Teru, di sini, mencemaskan penghuni sebelum reptilia itu berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beluru semalam.
Ular tiung cincin emas atau nama saintifiknya Boiga dendrophila ialah spesies ular taring belakang yang mempunyai bisa sederhana dan aktif di rantau Asia Tenggara.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Beluru menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.53 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, berkata sebaik menerima panggilan itu, sepasukan anggota APM Beluru diketuai Pbt. (PA) Rebina bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari PKOD.
“Turut menyertai operasi itu ialah Pbt. (PA) Spencer Bangit dan Pbt. (PA) Joshua Panyeh Sumping.

“Setibanya di lokasi, anggota APM dimaklumkan oleh pengadu, Rebina Nyelang, bahawa ular berkenaan berada di bahagian tingkap dapur,” katanya.
Beliau berkata, anggota APM kemudian menjalankan operasi menangkap ular berkenaan dan berjaya mengawalnya menggunakan penyepit serta peralatan khas.
Mirwan berkata, operasi berkenaan selesai pada 7.10 malam sebelum anggota APM daripada Skuad Charlie bergerak pulang ke PKOD.
Oleh Jiku Juguong




