Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Teruskan semangat ‘Segulai Sejalai’ sempena Hari Gawai – Abang Johari
  • TEMPATAN

Teruskan semangat ‘Segulai Sejalai’ sempena Hari Gawai – Abang Johari

Utusan Sarawak 6 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat ‘Segulai Sejalai’ yang sekian lama menjadi pegangan rakyat negeri ini perlu terus diperkukuh. Foto UKAS

KUCHING: Sambutan Hari Gawai 2026 bukan sahaja mencerminkan tradisi dan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi simbol kesyukuran serta perpaduan yang terus menyatukan rakyat Sarawak dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat ‘Segulai Sejalai’ yang sekian lama menjadi pegangan rakyat negeri ini perlu terus diperkukuh kerana ia merupakan asas kepada keharmonian dan kestabilan yang dinikmati Sarawak hari ini.

“Sambutan Gawai tahun ini turut membawa makna lebih besar apabila Sarawak memasuki fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak 2026-2030 yang akan menjadi pelan induk pembangunan negeri sehingga 2030.

“Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan untuk menjadi wilayah maju, makmur, inklusif dan mampan yang dipacu oleh inovasi, teknologi, data serta modal insan berkualiti tinggi dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion.

“Era kebergantungan sepenuhnya kepada sumber asli yang terhad kini telah berlalu. Sarawak sedang membina ekonomi baharu yang berteraskan ilmu pengetahuan, inovasi dan kekuatan modal insan,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai 2026 yang dikeluarkan hari ini.

Abang Johari berkata, pelaburan terbesar kerajaan negeri ketika ini adalah terhadap pembangunan modal insan, termasuk menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang telah memberi manfaat kepada 4,694 pelajar dan dijangka meningkat kepada 10,000 penerima menjelang penghujung tahun ini.

Dalam bidang teknologi, beliau berkata Sarawak sedang membangunkan loji polisilikon gred semikonduktor pertama di Asia Tenggara di Bintulu, selain merancang pelancaran satelit nano berasaskan CubeSat menjelang 2030 bagi menyokong perkhidmatan geolokasi, pemantauan hutan, maritim dan pengurusan bencana.

Beliau juga berkata projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menggunakan Aliran Transit Automasi (ART) dijadual memulakan operasi pada suku keempat tahun ini, sekali gus menjadikan Kuching antara model utama pengangkutan bandar berkuasa hidrogen di rantau ASEAN.

Pada masa sama, Sarawak turut membangunkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang serta memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai hab industri hijau global susulan pengiktirafan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai salah satu daripada 36 Kluster Industri Peralihan di dunia.

Mengakhiri perutusannya, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk terus bersatu hati, mengekalkan kestabilan dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan demi membina masa depan negeri yang lebih maju dan sejahtera.

“Transformasi yang sedang kita laksanakan hari ini bukan sekadar mengenai pembangunan ekonomi, teknologi atau infrastruktur semata-mata.

“Sebaliknya, ia juga tentang memperluaskan peluang, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan setiap warga Sarawak dapat menikmati kemakmuran yang kita bina bersama,” katanya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Utamakan keselamatan sepanjang sambutan Hari Gawai
Next: Hari Gawai perkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.