BINTULU: Sebanyak 49 masjid dan surau di kawasan Parlimen Bintulu menerima sumbangan kurma dan wang tunai daripada Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing sempena Ramadan.
Sumbangan untuk 22 masjid dan 27 surau itu bertujuan terus menyokong pelaksanaan pelbagai program ibadah seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih serta inisiatif kebajikan masyarakat.
Menurut Tiong, sumbangan tersebut juga menandakan komitmen berterusannya dalam membantu institusi keagamaan serta memperkukuh keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Bintulu.
“Saya berharap sumbangan ini dapat digunakan sebaiknya bagi mengimarahkan Ramadan dan mengeratkan silaturahim antara komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, wakil-wakil penerima turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Ahli Parlimen Bintulu itu dalam menyokong komuniti Islam, khususnya dalam memastikan kelancaran aktiviti sepanjang bulan suci ini.
Oleh Carolyne Utih