MARUDI: Sebanyak 400 pek beras diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena hari terakhir sambutan Pesta Hantu di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 200 pek beras disumbangkan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, manakala 200 pek lagi disumbangkan seorang individu berbangsa Cina yang enggan namanya disiarkan.
Pengagihan beras dalam pek 10 kilogram dan lima kilogram itu disempurnakan Penguang di pekarangan bangunan Tua Pek Kong Marudi.

Menurut Penguang, pengagihan beras berkenaan sepatutnya dilaksanakan tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan banjir yang melanda Marudi ketika itu.
Katanya, pengagihan itu kemudian dilaksanakan tahun ini bersempena sambutan Pesta Hantu.
Pesta Hantu merupakan sambutan tahunan dalam kalendar masyarakat Cina dan pada tahun ini, lebih 500 individu daripada pelbagai kaum hadir untuk mendapatkan beras yang diagihkan secara percuma.
Oleh Jiku Juguong





