KUCHING: Khidmat masyarakat perlu berteraskan usaha mendengar suara penduduk, memahami keperluan mereka serta mengambil tindakan bagi menangani masalah yang dihadapi, kata Penghulu Thian Sin Hwa.
Thian berkata berkata pemimpin masyarakat tidak seharusnya dinilai berdasarkan jawatan yang disandang, sebaliknya berdasarkan kesediaan mereka untuk menyumbang, mendengar dan berkhidmat kepada masyarakat.
Katanya, tanggungjawab utama seorang pemimpin masyarakat adalah untuk turun padang, mendekati penduduk serta memahami cabaran yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian.
“Ada keluarga yang mungkin menghadapi kesukaran, warga emas yang memerlukan bantuan, golongan muda yang memerlukan peluang, dan ada juga penduduk yang hanya memerlukan seseorang untuk mendengar masalah mereka,” katanya.
Thian berkata pemimpin masyarakat perlu sentiasa bersedia untuk mendekati penduduk, memahami isu yang dibangkitkan dan membantu mencari penyelesaian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa khidmat masyarakat tidak boleh digerakkan oleh seorang individu sahaja.
“Setiap orang mempunyai masa dan kemampuan yang terhad. Oleh itu, kita perlu menggabungkan kekuatan semua pihak dengan berkongsi pengalaman, sumber dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata mereka yang berpengalaman boleh membimbing golongan muda, manakala mereka yang mempunyai sumber boleh membantu golongan yang memerlukan dan individu yang berkemampuan boleh memikul lebih banyak tanggungjawab.
Thian turut menekankan kepentingan melibatkan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan kerana mereka mampu membawa idea dan pendekatan baharu.
“Dengan memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam khidmat masyarakat, usaha ini dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.
Beliau berkata khidmat masyarakat juga tidak seharusnya berakhir selepas sesuatu tugasan selesai, sebaliknya pengalaman dan pendekatan yang berjaya perlu dikongsi supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh pasukan dan komuniti.
Thian berkata masyarakat yang kukuh dapat dibina dengan mengutamakan rakyat, mengambil berat terhadap golongan rentan serta menyatukan pelbagai pihak untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
“Kita mungkin tidak dapat melakukan segala-galanya dengan sempurna, tetapi selagi kita sanggup mengambil satu langkah lagi, menunjukkan sedikit lebih keprihatinan dan memberikan sedikit lebih sumbangan, saya percaya komuniti kita akan terus menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau menyifatkan komuniti sebagai rumah bersama dan berharap kerjasama berterusan antara pemimpin masyarakat serta penduduk dapat menjadikan khidmat masyarakat lebih prihatin dan memberi impak.
Oleh Connie Chieng





