SARIKEI: Khidmat dan bakti kepada masyarakat setempat di sini diteruskan oleh Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Beliau telah menyerahkan bantuan makanan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) di kawasan masing-masing.
Sebanyak 1,762 barang makanan telah diserahkan kepada penduduk di kawasan perumahan dan flat Taman Susur Jambu, Jalan Drahman Keria, Jalan Syariff Mashor, Jalan Titian Simen, Jalan Haji Karim, Jalan Masjid Baru, Lorong 1 hingga Lorong 6 untuk Zon Sarikei, kelmarin.
Selain itu, pada hari yang sama, sebanyak 556 barang makanan telah diserahkan kepada penduduk di Zon Tanjung Manis iaitu di Kampung Jerijeh, Kampung Belawai, Balai Polis Belawai, Klinik Kesihatan Belawai, Kuarters SK Abg Gesa Belawai, MDMD Belawai, Pejabat Daerah Tanjung Manis-Belawai, Perikanan Belawai, Pertanian Belawai, Kuala Rajang Industri Sungai Tebu, Lembaga Sungai Selumit, Imigresen dan Forest Wood.
Bantuan makanan ini adalah peruntukan daripada Ahli Parlimen P.206 Tajung Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab dan juga sumbangan daripada Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang dan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bencana Covid-19 Bahagian Sarikei, Datu Len Talif Salleh.
Segala sumbangan disalurkan dari Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjung Manis dan juga Pusat Khidmat N41 Kuala Rajang.
Dalam pada itu, majlis simbolik penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang ini telah dijalankan bertempat di Sarikei, Rajang dan Belawai.
Dalam taklimat ringkasnya pada majlis tersebut, Yusuf berharap penduduk tempatan sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, pematuhan kepada PKP adalah bertujuan untuk memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dicegah.