KUCHING: Ekonomi dunia Islam yang semakin berkembang, berpotensi untuk diterokai dengan mengadakan kerjasama strategik.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata berdasarkan Laporan Ekonomi Islam Global (2020), 1.9 bilion umat Islam membelanjakan lebih AS$2.02 trilion merentasi begitu banyak sektor ekonomi, diterajui sektor makanan halal, fesyen, media dan pengembaraan.
“Aset kewangan Islam sahaja dianggarkan kira-kira AS$2.88 trilion pada 2019. Peluang ini semakin berkembang apabila umat Islam dijangka membelanjakan $2.4 trilion menjelang 2024,” katanya pada forum sulung Perniagaan Muslim Global 2022 di sini hari ini.
Forum sulung Perniagaan Muslim Global 2022 itu bertujuan mewujudkan kerjasama dan perkongsian lebih kukuh dalam kalangan masyarakat Islam yang lebih luas ke arah pembangunan mampan dan amalan hijau.
Ia dianjurkan bersama Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Dewan Perniagaan, Industri dan Pertanian Islam (ICCIA), Global One UK dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.
Awang Tengah berkata, untuk menerokai ekonomi Islam global, kerjasama lebih kukuh dan perkongsian strategik dalam kalangan negara Islam dan komuniti perniagaan global, penting untuk memastikan pemulihan ekonomi dunia yang mampan.
Katanya, forum itu sememangnya relevan kerana dunia semakin pulih selepas pandemik Covid-19 untuk memberi ruang kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan melalui amalan mampan.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia serta membawa banyak cabaran kepada ekonomi dunia seperti gangguan dalam rantaian bekalan global, isu keselamatan makanan dan penutupan sempadan.
Awang Tengah berkata, Sarawak diberkati dengan sumber semula jadi seperti flora dan fauna, serta tanah yang boleh diusahakan untuk pertanian selain sungai berpotensi besar untuk menjana kuasa hidroelektrik.
“Sarawak juga mempunyai simpanan petroleum dan gas asli yang besar. Kami memegang kira-kira 29 peratus rizab minyak dan kira-kira 56 peratus rizab gas asli di Malaysia. Di samping itu, deposit mineral kami yang besar seperti tanah liat kaolin, pasir silika masih belum ditoreh sepenuhnya.
“Kami mempunyai penduduk kira-kira 2.8 juta orang, terdiri daripada kumpulan umur bekerja yang muda, berbakat dan produktif untuk menyokong agenda pembangunan sosioekonomi kami,” katanya.