KUCHING: Sebanyak 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif di seluruh negeri setakat jam 8 malam ini, dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir menurun kepada 6,160 orang daripada 1,798 keluarga.
Menurut Laporan PPS MTL Negeri Sarawak hari ini, sebuah PPS baharu telah dibuka di Dewan Kampung Bawang, Matu.
Bagaimanapun, sembilan PPS telah ditutup selepas keadaan banjir di beberapa kawasan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Di bahagian Kapit, Betong, dan Kuching, tiada PPS yang aktif selepas semua PPS ditutup sepenuhnya, menandakan keadaan banjir di kawasan ini telah pulih sepenuhnya tanpa sebarang mangsa direkodkan.
PPS yang ditutup termasuk Dewan Slabi Entukuh, Dewan Masyarakat Serian, Dewan Ranchan, Stadium Tertutup Serian, Dewan Pak Kung Serian, Naim Paragon Bintulu, Dewan Balai Raya Jepak Bintulu, Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A, dan Dewan Kampung Bajong Tengah Sebuyau.
Bahagian Miri mencatatkan jumlah PPS aktif tertinggi dengan 11 PPS yang masih beroperasi dan menempatkan seramai 1,372 mangsa.
Bintulu pula mempunyai tujuh PPS aktif dengan jumlah mangsa seramai 2,429 orang.
Di Bahagian Sibu, lima PPS masih beroperasi yang menempatkan 828 orang daripada 251 keluarga.
Sementara itu, Bahagian Mukah, walaupun hanya mempunyai empat PPS aktif, menunjukkan peningkatan jumlah keluarga dan mangsa, iaitu seramai 313 orang.
Di Bahagian Samarahan, tiga PPS masih aktif manakala 11 PPS telah ditutup selepas keadaan banjir menunjukkan pemulihan.
Seramai 426 mangsa daripada 166 keluarga masih berlindung di PPS yang beroperasi.
Bagi Bahagian Serian, hanya dua PPS masih aktif selepas lima PPS ditutup susulan keadaan banjir yang bertambah baik.
Oleh Amanda L.