Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Terkesan alunan al-Fatihah, lelaki keturuan cina peluk Islam berpeluang tunai haji
  • SEMASA

Terkesan alunan al-Fatihah, lelaki keturuan cina peluk Islam berpeluang tunai haji

Utusan Sarawak 4 hours ago
MUALAF, Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah, 54, dan isterinya Kamariah Othman, 45, ketika ditemui pengamal media baru-baru ini. Bermula daripada sekadar singgah mendengar alunan surah Al-Fatihah dari luar sebuah masjid, seorang lelaki berketurunan Cina tidak menyangka detik itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya, hingga membawa kepada pengislamannya serta peluang mengerjakan ibadah haji. Foto BERNAMA

MAKKAH: Bermula daripada sekadar singgah mendengar alunan surah al-Fatihah dari luar sebuah masjid, seorang lelaki berketurunan Cina tidak menyangka detik itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya, hingga membawa kepada pengislamannya serta peluang mengerjakan ibadah haji.

Mohamad Zamarul Hafiz Ho Abdullah, 54,  yang berasal dari Masai Johor berkata pengalaman mendengar bacaan “Amin” yang bergema serentak dalam kalangan jemaah telah menyentuh hatinya sehingga menimbulkan rasa ingin tahu terhadap Islam.

“Saya duduk di luar masjid waktu Maghrib, dengar bacaan al-Fatihah. Bila semua sebut ‘Amin’ bersama-sama, saya rasa lain… hati jadi tenang. Saya nampak Islam itu satu, bersatu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut bapa kepada lima anak ini perasaan itu mendorongnya mendekati masjid secara perlahan-lahan walaupun ketika itu masih belum memeluk Islam serta tidak memahami asas ibadah.

“Saya masuk senyap-senyap, duduk di belakang. Orang ajak solat, saya ikut saja walaupun tak tahu baca apa-apa. Tapi rasa tenang,” katanya.

Malah, rasa ingin tahu keistimewaan surah al- Fatihah mendorongnya berusaha mempelajarinya sendiri dengan menyalin sebutan dalam tulisan rumi sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada 2006.

Walaupun keputusan 20 tahun lepas itu mendapat tentangan daripada keluarga sehingga dia dihalau dari rumah, namun sedikitpun tidak melemahkan keyakinanannya, sebaliknya dugaan kecil itu telah meningkatkan keinginannya untuk mendalami Islam dengan dibantu oleh isterinya, Kamariah Othman, 45 yang dikahwininya pada tahun sama.

Kamariah yang turut sama menunaikan haji berkata kehidupan mereka sebagai suami isteri penuh cabaran termasuk membesarkan anak dalam keadaan kewangan yang amat terhad.

“Kami pernah makan lauk yang sama setiap hari. Anak pula ada masalah kesihatan. Tapi kami hadapi bersama,” katanya.

Namun, impian untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu tidak pernah pudar, Mohamad Zamarul yang bekerja sendiri dalam perniagaan membuat roti mula menabung sedikit demi sedikit walaupun pendapatan tidak menentu.

“Kami paksa diri simpan setiap bulan. Kalau ada lebihan duit, terus masukkan. Dari sedikit, lama-lama jadi banyak. Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil apabila kami dapat menunaikan ibadah haji tahun ini walaupun pada awalnya macam mustahil,” katanya.

Lebih bermakna, perubahan hidup Mohamad Zamarul selepas memeluk Islam turut membuka hati kedua ibu bapanya untuk memeluk Islam pada 2012.

Mengimbau pengalaman di Tanah Suci, dia yang kini menetap di Jitra, Kedah berkata perasaan berada di Makkah sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Bila sampai di sini, rasa tenang sangat. Kita rasa diri ini kecil. Semua yang kita kejar di dunia macam tak ada apa,” katanya.

Sementara itu, Kamariah menyifatkan peluang menunaikan haji sebagai jawapan kepada doa yang dipanjatkan dengan penuh harapan.

“Saya hanya minta dalam hati untuk sampai ke sana sebelum meninggal dunia. Tak sangka Allah makbulkan,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Abang Johari mula lawatan kerja ke UK, Ireland hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.