Abang Johari mula lawatan kerja ke UK, Ireland hari ini

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari lawatan kerja ke UK dan Ireland, fokus kerjasama pusat data, AI dan semikonduktor hingga 5 Mei. Foto UKAS

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai lawatan kerja rasmi ke Manchester dan Bristol, United Kingdom (UK) serta Dublin, Ireland dari hari ini hingga 5 Mei.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi kenyataan memaklumkan lawatan itu misi strategik dalam usaha mengukuhkan infrastruktur pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembangunan bakat negeri.

“Di Dublin, Abang Johari dijadualkan melawat Pusat Data K2 manakala di Manchester beliau akan menyertai program Sarawak Agenda-Townhall serta menghadiri majlis makan malam Lan Berambeh Anak Sarawak.

“Abang Johari juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama wakil Kerajaan Wilayah Manchester di British Muslim Heritage Centre,” menurut kenyataan itu.

UKAS memaklumkan di Bristol, Abang Johari dijadualkan hadir ke sesi libat urus SMD Semiconductor dengan University of Bristol dan menyampaikan ucapan di majlis tersebut.

“Abang Johari juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan SMD Semiconductor dan melawat National Composites Centre (NCC),” menurut kenyataan itu.- Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman