
KUALA LUMPUR: Tempat kerja tidak boleh dianggap selamat jika pekerja mengalami lesu upaya atau burnout akibat beban kerja tidak realistik atau disebabkan buli dan gangguan, kata Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye.
Lee dalam kenyataan hari ini berkata Laporan Kesejahteraan di Tempat Kerja 2024 dan 2022 oleh Employment Hero menunjukkan 67 peratus pekerja Malaysia mengalami lesu upaya pada 2024 meningkat daripada 58 peratus pada 2022 yang disifatkan beliau sebagai membimbangkan.
“Ini bukan isu remeh. Ini risiko psikososial dan ia sama berbahaya seperti lantai licin atau kerosakan mesin. Malah, impaknya boleh menjadi lebih teruk kerana ia boleh menjejaskan minda.
“Seperti mana kita mengiktiraf kepentingan kesihatan fizikal dalam memastikan pekerja dapat melaksanakan tugas dengan selamat dan berkesan, kita perlu mengakui kesihatan mental adalah sama, jika tidak lebih, kritikal dalam membentuk produktiviti, pembuatan keputusan, hubungan dan kejayaan organisasi secara keseluruhan,” katanya.
Lee berkata walaupun cabaran kesihatan mental tidak selalu kelihatan, ia boleh menjejaskan tumpuan, mengurangkan motivasi, meningkatkan kesilapan dan menyebabkan kurang penglibatan di tempat kerja.
Beliau berkata kesihatan mental juga menyokong kesihatan fizikal dengan tekanan kronik dikaitkan dengan keadaan serius seperti penyakit jantung, hipertensi, imuniti yang lemah dan gangguan tidur.
Walaupun produktiviti sering diukur menerusi ketidakhadiran pekerja, Lee berkata apa yang lebih membahayakan ialah presenteeism, iaitu pekerja yang hadir secara fizikal namun tidak secara mental.
“Mereka berada di meja tetapi fikiran dibebani tekanan, kebimbangan atau kemurungan. Mereka tidak boleh memberi tumpuan atau berfungsi dengan baik dan kadangkala melakukan kesilapan kritikal.
“Ini bukan hanya isu kemanusiaan tetapi juga isu ekonomi. Presenteeism secara senyap menjejaskan produktiviti dan memberi kesan kepada pertumbuhan negara. Jika kita mengabaikan kesihatan mental, kita bukan hanya gagal menjaga rakyat tetapi juga gagal menjaga ekonomi,” katanya.
Lee berkata majikan mesti mengiktiraf mewujudkan persekitaran kerja psikososial yang selamat dan menyokong ialah tanggungjawab dan bukan pilihan.
Ini termasuk menggalakkan perbualan terbuka mengenai kesihatan mental tanpa stigma atau diskriminasi, menyediakan akses kepada sumber kesihatan mental, kaunseling dan program bantuan pekerja serta melatih pengurus mengenal pasti tanda awal tekanan mental dan bertindak balas dengan empati.
Selain itu, ia juga meliputi memastikan beban kerja yang munasabah serta keseimbangan dalam kerja dan kehidupan, memberikan layanan adil pada semua peringkat serta mewujudkan dasar jelas untuk menangani buli, gangguan dan budaya toksik di tempat kerja.
Lee juga menggesa kerajaan untuk mengiktiraf risiko psikososial dalam rangka kerja keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) negara dengan dasar yang meletakkan keselamatan psikologi sama penting dengan keselamatan fizikal.
Beliau berkata Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menetapkan setiap majikan wajib untuk menjalankan penilaian risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta mengurangkan atau menghapuskan risiko itu berdasarkan hasil penilaian tersebut termasuk yang berkaitan dengan bahaya psikososial.
Sehubungan dengan itu, Lee berkata pembangunan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja (PRisMA) 2024 dapat membantu majikan menjalankan penilaian serta mengurus risiko itu di tempat kerja.
“Realiti yang tidak boleh lagi kita abaikan hari ini ialah kita tidak hanya membawa kemahiran ke tempat kerja sebaliknya juga membawa diri secara keseluruhan termasuk kebimbangan, kemurungan dan beban psikologi,” katanya.
Lee menggesa semua pihak untuk memecahkan kesunyian isu kesihatan mental termasuk di tempat kerja yang menjadi suatu keperluan, yang menuntut empati, komitmen dan tindakan kolektif daripada majikan, pekerja serta masyarakat.
“Tiada siapa yang perlu menderita dalam diam. Sudah tiba masa untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental di semua tempat kerja, pada setiap peringkat dan untuk setiap individu,” katanya. – Bernama