Tembok perlindungan dibina di lima lokasi, tangani pencerobohan utiliti

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ditemui media selepas merasmikan Kelas Induk Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bersepadu (CTPR) 2026, di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

KUCHING: Sebanyak lima lokasi di Sarawak memerlukan pembinaan tembok perlindungan susulan kejadian pencerobohan dan kecurian yang berlaku terhadap infrastruktur utiliti.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, tembok setinggi tiga meter yang dilengkapi dawai berduri itu menelan kos lebih RM100,000 bagi setiap lokasi.

Menurutnya, antara lokasi berkenaan ialah Sungai Rayah, Bintangor, manakala empat lagi lokasi turut dikenal pasti untuk dibina struktur perlindungan yang sama.

“Untuk membina tembok seperti itu, kosnya lebih daripada RM100,000. Sekarang kita mula melihat keperluan untuk membina perlindungan seperti ini di semua lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Kelas Induk Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bersepadu (CTPR) 2026, di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

Julaihi berkata, kejadian vandalisme membabitkan kecurian dan kerosakan pelbagai infrastruktur utiliti, termasuk kabel elektrik serta gentian optik.

Katanya, kabel berkenaan sering dipotong untuk mendapatkan tembaga, manakala kerosakan terhadap infrastruktur telekomunikasi turut boleh menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna.

“Perkara ini berlaku di mana-mana sahaja, sama ada di bandar mahupun luar bandar. Saya baru pulang dari Sarikei dan melihat sendiri keadaan di sana sehingga kita terpaksa membina tembok setinggi tiga meter dengan dawai berduri di atasnya,” ujarnya.

Menurutnya, keperluan membina struktur perlindungan tambahan itu meningkatkan kos untuk melindungi infrastruktur yang sememangnya bernilai tinggi.

“Bayangkan, sebuah menara telekomunikasi boleh menelan kos kira-kira RM2.5 juta. 

“Jika kita perlu membelanjakan tambahan RM100,000 untuk membina tembok di sekeliling tapak dan pencerobohan serta kecurian terus berlaku berulang kali, ia amat merugikan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Julaihi berkata, usaha menangani vandalisme memerlukan kerjasama semua pihak kerana penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi.

“Tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kesedaran masyarakat juga penting dan media memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kejadian vandalisme,” katanya.

Oleh Adele Rissa