PARIS: Teksi udara elektrik keluaran syarikat Jerman, Volocopter diterbangkan buat kali pertama di Perancis pada Isnin.
Penerbangan itu dilakukan di Lapangan Terbang Le Bourget.
Menurut syarikat berkenaan, teksi udara itu dijangka akan beroperasi semasa Sukan Olimpik di Paris pada tahun 2024.
Teksi terbang yang kelihatan seperti helikopter kecil itu berlepas dan kemudian mendarat secara menegak.
Tiada penumpang di dalamnya ketika penerbangan selama tiga minit itu.
Kenderaan itu terbang sepanjang 500 meter di udara dengan kepantasan hingga 30 kilometer sejam dan berada 30 meter di atas landasan lapangan terbang.
Teksi terbang itu mempunyai kapasiti dua orang di dalamnya serta ruangan bagasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Volocopter, Florian Reuter berkata, objektif kenderaan itu adalah untuk Sukan Olimpik Paris 2024 dan ia akan beroperasi secara tetap.
Perkhidmatan teksi terbang akan dikendalikan oleh juruterbang berlesen sepenuhnya bagi memastikan segala peraturan sedia ada dipatuhi.
Jelasnya, lama kelamaan kenderaan itu akan dikendalikan secara kawalan jauh dan kemungkinan tidak memerlukan juruterbang lagi.
Reuter menyatakan pasaran mobiliti bandar adalah sangat besar. Jelasnya, mobiliti bandar adalah pasaran lebih daripada AS$10 trilion dan pihaknnya menganggarkan pada tahun 2035 dapat melayani pasaran yang memiliki peluang sekitar AS$300 juta.-AFP