KUCHING: Seorang tekong bot nelayan warga Indonesia maut selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan 36 batu nautika dari Tanjung Po.
Pegawai Memerintah KM MARLIN, Leftenan Komander Maritim Mohd Khair Baharom berkata, pasukannya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar 4 petang semalam dan berjaya mengesan bot berkenaan pada 11 malam tadi.
“Ketika ditemui, terdapat tiga awak-awak (kru kapal) di dalam bot tersebut, dengan salah seorang daripada mereka tidak sedarkan diri.
“Malangnya seorang mangsa telah meninggal dunia dan kita ambil pendekatan untuk membawa kapal tersebut ke Muara Tebas.
“Dua awak-awak memaklumkan bahawa tekong telah terjatuh ke laut, dan ketika diselamatkan, tekong tersebut telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini, hari ini.
Mohd Khair berkata tekong bot berkenaan dipercayai telah pengsan sebelum terjatuh ke laut, menyebabkannya lemas ketika cuba diselamatkan oleh kru bot berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan laut ketika itu dilaporkan bergelora dan tidak selamat untuk bot-bot nelayan kecil sekali gus menyulitkan operasi menyelamat oleh kapal KM MARLIN.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti KOMTAS sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada Pusat Sub-Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching.
Katanya, laporan itu dibuat oleh pemilik bot, Eric Yeo yang melaporkan bahawa tekong berusia 43 tahun itu tidak sedarkan diri sekitar 12.35 tengah hari semalam selepas kejadian.
“Oleh itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 2.30 petang dengan menghantar Kapal Maritim (KM) MARLIN ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maritim Malaysia menasihati komuniti maritim agar sentiasa berwaspada, memakai jaket keselamatan dan menangguhkan perjalanan ke laut jika cuaca buruk.
Sebarang maklumat, aduan, atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di 082-432544 untuk maklum balas segera.
Oleh Mohd Neenatul Aizal