SERIAN: Penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian berpotensi mengubah persepsi golongan muda terhadap industri itu, sekali gus menjadikannya pilihan kerjaya yang mampu menawarkan pendapatan lumayan dan masa depan lebih cerah.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor pertanian kini berkembang sebagai industri moden dan berdaya saing menerusi penggunaan teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), pertanian pintar, sistem fertigasi, rumah hijau serta amalan pertanian terbaik.
Katanya, persepsi bahawa pertanian merupakan sektor yang kotor, sukar dan berpendapatan rendah perlu diubah seiring perkembangan teknologi serta pendekatan komersial yang mampu meningkatkan produktiviti dan pulangan kepada pengusaha.

“Pertanian tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor yang kotor, sukar dan berpendapatan rendah.
“Masa depan sektor ini bergantung kepada penggunaan teknologi moden yang mampu meningkatkan produktiviti serta menjana pulangan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Agro Serian 2026 di Pusat Persidangan Serian (SCC), di sini, hari ini.
Menurutnya, penglibatan lebih ramai golongan belia penting bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja berkemahiran yang mampu menerajui transformasi sektor pertanian ke arah industri lebih moden dan mampan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, Sarawak turut menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030, sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negeri serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peningkatan pendapatan petani tidak boleh hanya bergantung kepada pengeluaran hasil, sebaliknya perlu disokong oleh pembangunan industri hiliran, aktiviti pemprosesan serta rantaian bekalan yang lebih tersusun.
Jelasnya, pendekatan tersebut penting bagi menghasilkan nilai tambah kepada produk pertanian dan memastikan pengusaha mendapat pulangan yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menggesa Jabatan Pertanian Sarawak memperkukuh pelaksanaan program dengan memberi keutamaan kepada keperluan sebenar petani berdasarkan kesesuaian kawasan, jenis perusahaan serta permintaan pasaran.
Beliau berkata, penggunaan sistem e-Petani dapat membantu memastikan bantuan input pertanian disalurkan secara lebih bersasar kepada pengusaha yang layak, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan.
Pada masa sama, beliau menyeru Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh pemasaran hasil, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta menggalakkan pelaksanaan pertanian secara berkelompok.
Beliau turut mencadangkan supaya lebih ramai ikon usahawan tani berjaya diwujudkan di setiap bahagian bagi menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa sektor pertanian mampu menjadi sumber pendapatan lumayan melalui pendekatan komersial dan penggunaan teknologi.




