Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Teknologi AI papar rupa dan detik akhir mangsa Pompeii
  • GLOBAL

Teknologi AI papar rupa dan detik akhir mangsa Pompeii

Utusan Sarawak 5 hours ago
IMEJ yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan Itali pada hari Isnin, 27 April 2026, menunjukkan mangsa letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 Masihi, di kawasan arkeologi Pompeii berhampiran Naples di selatan Itali.

ROM: Penyelidik Itali buat kali pertama menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk melakar semula rupa dan detik akhir seorang mangsa letusan Gunung Vesuvius di Pompeii pada tahun 79 Masihi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Taman Arkeologi Pompeii pada Isnin menerbitkan imej dijana AI yang memaparkan seorang lelaki berlari dalam keadaan membongkok sambil memegang sebuah bekas di atas kepalanya, dipercayai sebagai perlindungan.

Imej itu berdasarkan penemuan rangka seorang lelaki oleh ahli arkeologi di kawasan nekropolis Porta Stabia.

Di sisi rangka itu, para penyelidik menemukan sebuah bekas besar daripada tanah liat yang dipercayai digunakan mangsa ketika melarikan diri daripada letusan hampir 2,000 tahun lalu.

Mangsa dipercayai cuba menuju ke pantai, namun maut akibat hujan batuan gunung berapi. Bekas yang dijumpai berhampiran rangka menunjukkan kesan pecah akibat hentaman.

Penyelidik turut menemukan lampu minyak kecil yang dipercayai digunakan untuk membantu mangsa melihat dalam keadaan gelap, selain beberapa keping syiling gangsa.

Menurut pihak taman, pembinaan semula menggunakan AI itu masih pada peringkat prototaip eksperimen, dengan tujuan menjadikan hasil penyelidikan arkeologi lebih mudah difahami orang awam.

Pengarah taman itu, Gabriel Zuchtriegel berkata penggunaan AI yang tepat mampu memberi nafas baharu kepada kajian klasik dengan memaparkan kisah dunia lampau secara lebih jelas dan menarik.

Pompeii tertimbus di bawah abu, lumpur dan lava akibat letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 Masihi, namun terus menjadi lokasi penting bagi penemuan arkeologi.

Bandar purba itu ditemukan semula pada abad ke-18 dan tinggalan yang terpelihara hingga kini memberi gambaran tentang kehidupan pada zaman Empayar Rom.

Kini, Taman Arkeologi Pompeii merupakan antara tarikan pelancongan paling popular di Itali. – Bernama-dpa

Continue Reading

Previous: Angka korban nahas kereta api di Indonesia meningkat kepada tujuh, 85 cedera
Next: 14 terkorban dalam nahas pesawat di Sudan Selatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.