Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Angka korban nahas kereta api di Indonesia meningkat kepada tujuh, 85 cedera
  • GLOBAL

Angka korban nahas kereta api di Indonesia meningkat kepada tujuh, 85 cedera

Utusan Sarawak 4 hours ago
PASUKAN penyelamat berusaha menyelamatkan lima mangsa terselamat yang terperangkap dalam sebuah gerabak selepas lokomotif kereta api penumpang merempuh bahagian belakang tren komuter stesen Bekasi Timur di Bekasi, Jawa Barat pada 28 April 2026. Foto AFP
PEGAWAI mengambil gambar di lokasi lokomotif kereta api penumpang menembusi gerabak belakang sebuah tren komuter Stesen Bekasi Timur di Bekasi, Jawa Barat, pada 28 April 2026. Foto AFP

JAKARTA: Angka korban akibat perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat meningkat kepada tujuh orang, manakala 85 lagi cedera, menurut pihak berkuasa Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta (Basarnas), Desiana Kartika Bahari berkata setakat 7.30 pagi waktu tempatan, seramai 92 mangsa direkodkan, terdiri daripada 85 mangsa terselamat yang menerima rawatan di hospital atau dibenarkan pulang selepas mengalami kecederaan ringan, dan tujuh kematian.

Beliau berkata operasi masih tertumpu kepada usaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam gerabak kereta api.

“Memasuki hari kedua, kami terus mengoptimumkan semua anggota Basarnas bersama elemen SAR. Proses pemindahan dilakukan dengan berhati-hati berikutan kerosakan teruk pada gerabak kereta api.

“Keutamaan kami adalah mengesan dan mengeluarkan semua mangsa secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

GAMBAR menunjukkan lokasi lokomotif kereta api penumpang menembusi gerabak belakang sebuah tren komuter Stesen Bekasi Timur di Bekasi, Jawa Barat, pada 28 April 2026. Foto AFP
PASUKAN penyelamat membawa keluar seorang mangsa terselamat yang terperangkap dalam sebuah gerabak selepas lokomotif kereta api penumpang merempuh bahagian belakang tren komuter stesen Bekasi,Timur di Bekasi, Jawa Barat pada 28 April 2026. Foto AFP

Perlanggaran berlaku lewat Isnin apabila sebuah tren komuter yang berhenti di landasan 1 menuju ke Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh yang tiba di landasan sama.

Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Kereta Api Indonesia (KAI), Anne Purba mengesahkan semua mangsa maut dan cedera adalah penumpang tren komuter.

Beliau berkata kesemua 240 penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat dalam kejadian itu.

Anne berkata syarikat berkenaan komited memberikan sokongan penuh kepada mangsa dan keluarga terjejas, termasuk memastikan proses pengendalian dilakukan dengan cepat, teratur dan diselaraskan dengan semua pihak berkaitan.

Beliau berkata usaha pemindahan mengambil masa beberapa jam apabila pasukan penyelamat bekerja dengan berhati-hati untuk membantu mangsa terselamat yang masih terperangkap.- Bernama

Continue Reading

Previous: Wanita hamil lahirkan bayi dalam penerbangan Delta Air Lines
Next: Teknologi AI papar rupa dan detik akhir mangsa Pompeii

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.