
KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan usahawan apabila menerima The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Awards 2026 bagi kategori Kecemerlangan dalam Pembangunan Keusahawanan dan Pemerkasaan Komuniti.
Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan komitmen berterusan TEGAS dalam memperkasa komuniti menerusi pembangunan bakat, inovasi digital serta ekosistem keusahawanan inklusif sejak penubuhannya pada 2012.
Sepanjang 2025 sahaja, TEGAS melaksanakan sebanyak 102 program dengan penyertaan lebih 1.08 juta peserta, sekali gus memperlihatkan impak signifikan dalam memperluas akses kepada pendidikan, kemahiran digital dan peluang keusahawanan di seluruh Sarawak.
Antara inisiatif utama yang menjadi pemangkin termasuk TEGAS Digital Village dan TEGAS Digital Innovation Hub yang menyokong pertumbuhan syarikat pemula, memudah cara pemindahan teknologi serta mempercepatkan proses pengkomersialan, selaras aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital menjelang 2030.
Anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) yang juga Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil yang mewakili Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, bersama Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang pada majlis di sebuah hotel di sini.

Menurut Len Talif, pengiktirafan itu mencerminkan usaha kolektif seluruh warga TEGAS serta sokongan berterusan kerajaan Sarawak dan rakan strategik.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus memperkukuh inisiatif dalam membangunkan bakat, memperkasa komuniti dan merangsang pertumbuhan keusahawanan digital di Sarawak,” katanya.
The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Awards 2026 membawa tema memperkasa jenama Bumiputera dengan menekankan kecemerlangan, daya tahan serta keupayaan organisasi dalam membina jenama berimpak tinggi.
Anugerah itu turut mengiktiraf jenama yang menunjukkan prestasi cemerlang merangkumi strategi, komunikasi, budaya organisasi serta ekuiti jenama, sekali gus mengukuhkan kredibiliti di peringkat nasional dan global.