
MIRI: Sejumlah RM72, 337 hasil zakat disumbangkan kepada 231 penerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf di bawah jagaan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), pelajar tahfiz dan sebuah pusat tahfiz di sini, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar TBS, Datu Abg Mohd. Shibli Abg Mohd Nailie pada Majlis Iftar Perdana Bahagian Miri anjuran TBS Bahagian Miri yang diadakan di Dewan Kompleks Islam.
Sumbangan itu bertujuan bagi meringankan beban penerima sepanjang Ramadan serta persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.
Majlis tersebut diadakan bertujuan meraikan golongan asnaf dan pelajar tahfiz sempena Ramadan.
Antara pengisian pada majlis tersebut adalah siri rakaman podcast Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak bersama TVS bertemakan “Baitulmal Tanggungjawab Kita Bersama” dengan memberi pengkhususan kepada masyarakat mengenai transformasi TBS ke arah kecemerlangan.
Podcast ini membicarakan berkaitan perjalanan tadbir urus Tabung Baitulmal Sarawak dan akan disiarkan pada 22 Mac nanti.
Siri podcast yang seterusnya akan diadakan di Kuching pada 21 Mac 2025 dengan tema perbincangan pada sudut yang lain.
Setakat Januari 2025, TBS telah mengagih sejumlah RM8.30 juta kepada asnaf yang layak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar, Bolhassan Iskandar Taibi, Timbalan Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran, Iskandar Allan serta TBS Bahagian Miri yang terlibat.