
MARUDI: Ketua masyarakat Cina Daerah Marudi, yang juga Pengerusi AJK Cina, pekan Marudi/Poyut/Lubok Nibong, Wong Kiong Ching berkata Tahun Baharu Cina (TBC) bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu mengikut kalendar lunar, tetapi juga membawa harapan baharu, kebahagian dan kesejahteraan untuk semua.
Katanya sambutan TBC adalah masa untuk semua kaum mengeratkan hubungan kekeluargaan, memperkukuhkan perpaduan semua kaum serta meraikan kepelbagaian budaya.
Ketika menyampaikan ucapkan di majlis makan malam sambutan TBC 2025 di Dewan Suarah Marudi malam tadi, Wong menegaskan bahawa sambutan perayaan TBC sudah menjadi amalan bagi keluarga Malaysia terutama masyarakat di Baram untuk meraikan bersama dengan kaum lain dalam suasana mesra dan harmoni.
Tambah Wong toleransi dan saling memahami tentang agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lama perlu dipupuk dan dijaga untuk selama-lamanya.
“Saya berasa bangga dan gembira kerana majlis yang kita raikan ini turut dihadiri kaum-kaum lain seperti kaum Melayu, Iban, Kenyah, Kayan dan yang lain yang terdapat di daerah Baram.” Katanya.
Dalam pada itu beliau bersyukur kerana dapat menghimpunkan masyarakat Cina dan masyarakat Bumiputera untuk meraikan bersama TBC 2025 dalam suasana yang berwarna warni, meriah dan harmoni.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr. Penguang Manggil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek ) yang juga ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala.
Oleh Jiku Juguong