MARUDI: Seramai 200 penduduk Kampung Pemindahan di sini menyertai Program Jiwa@Komuniti, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 anjuran Pejabat Penerangan Marudi di Dewan Masyarakat Kampung Pemindahan, petang semalam.
Menurut Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Marudi, Fazzwan Yunus, sambutan Hari Malaysia mampu mengeratkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Katanya, program ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda agar terus menghargai keamanan, keharmonian dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara.

“Kita juga mampu duduk bersama, bekerjasama dan bergembira sebagai satu komuniti dan itulah semangat Segulai Sejalai,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Beliau berharap semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan dapat berkumpul dalam suasana yang lebih meriah.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya pertandingan mewarna, gubahan bunga, pakaian kreatif dan nyanyian.

Tempat pertama pertandingan Gubahan Bunga Meja Makan Beradab Pengantin dimenangi Umie dan Siti Atirah.
Sementara itu, johan pertandingan Mewarna Kanak-Kanak disandang adik Dayang Siti Syuhada Awang Saifulrizal.
Manakala, johan pertandingan Pakaian Kreatif dimenangi Nur Qalesya Keyla Kelana, sementara Siti Zaiton muncul juara pertandingan Mewarna Dewasa.
Oleh Jiku Juguong




