SEBUAH kereta jenis Toyota Vios bernilai RM80,000 menunggu pemain yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one pada Kejohanan Golf Amatur Terbuka Labuan yang bermula di lapangan Kelab Golf Labuan (LGC) di sini semalam.
Selepas tertangguh selama dua tahun susulan pandemik Covid-19, kejohanan kategori lelaki dan wanita selama tiga hari itu kembali semula dengan penyertaan 112 pemain dengan hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah RM150,000.
Presiden LGC, Datuk Gapilin Nasaruddin berkata kejohanan yang tertakluk kepada pemain handikap bawah 12 itu bakal disertai oleh beberapa pemain handalan.
“Penganjuran semula kejohanan ini memberi rangsangan besar kepada kami dalam usaha mempromosikan sukan golf amatur dan profesional di seluruh Borneo,” katanya pada sidang media di LGC di sini semalam.
Beliau berkata hadiah kereta Toyota Vios ditawarkan kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one di par tiga lubang keempat (150 meter) dan lubang kelapan lapan (170 meter).
Menurutnya antara pemain hebat yang akan bersaing pada kejohanan tersebut bekas juara amatur Labuan 2012, Kevin G. Pius, juara Terbuka Sandakan dan juara Terbuka Borneo,Mohd Zariq Encho dan Idris Mohamad selain pencabar dari Sabah termasuk Safaruddin Abidin daripada Kelab Golf Sandakan dan Brandon Lai (Shan Shui Golf & Country Club). – Bernama