PELANGI Foodkiosk Kampung Nangka yang terletak di Jalan Kampung Nangka di sini menjadi daya tarikan baharu di bandar Sibu selepas menerima suntikan imej baharu daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Projek naik taraf tapak perniagaan tersebut bernilai kira-kira RM242,000 adalah untuk mewujudkan tapak perniagaan yang lebih selesa bagi penjaja di kawasan tersebut.
Berkonsepkan kiosk yang berwarna-warni, moden serta mesra pengguna, menjadikan kawasan ini tumpuan orang ramai, termasuk pengunjung dari luar kawasan Sibu.
Terdapat 17 kiosk berwarna-warni yang menyajikan variasi makanan dan minuman lazat tempatan. Antaranya termasuklah Ayam Percik Dara, bubur pedas, burger, nasi lemak, cendol pulut, coklat menoes, nasi kerabu, dan banyak lagi.
Usaha ini direalisaikan oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr. Annuar Rapa’ee, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Jelasnya, ia adalah hasrat beliau untuk mengubah kawasan itu menjadi kawasan penjaja terbaik di Sarawak dengan kemudahan kiosk termoden dan mesra pengguna, sekali gus menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong baharu di Sibu.
“Oleh hal sedemikian itu, adalah penting untuk para peniaga mengekalkan kecantikan serta menjaga kebersihan kawasan serta makanan mereka agar para pengunjung, terutama pelanggan dari dalam dan luar Sibu, terus berkunjung ke kawasan ini,” katanya.
Dr. Annuar memberitahu, sebelum ini para penjaja hanya menggunakan khemah atau gerai-gerai sementara yang kurang selesa dan apabila hujan, aktiviti perniagaan mereka terganggu.
“Jadi dengan adanya kiosk kekal dengan reka bentuk moden ini, para peniaga dapat menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih selesa dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Setiap kiosk juga dibekalkan dengan elektrik dan air, sekali gus memudahkan para penjaja menjalankan aktiviti perniagaan mereka, sama ada pada waktu siang atau malam.
“Saya yakin penampilan baru (kiosk) ini akan membantu meningkatkan ekonomi para penjaja di kawasan ini,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penjaja makanan, Taibee Hamdan berkata, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan memberi bantuan kepada penjaja.
“Dengan adanya projek menaik taraf ini, gerai lama telah bertukar kepada kiosk yang bersifat kekal dan lebih menarik.
“Di samping itu, setiap kiosk dibekalkan dengan elektrik dan air, sekali gus memudahkan para penjaja menjalankan aktiviti perniagaan mereka sama ada pada waktu siang atau malam,” katanya.
Bagi pengunjung, Malik Adam,50, pula berkata, sejak beroperasi, beliau sering berkunjung ke Pelangi Foodkisok Kampung Nangka ini untuk membeli pelbagai juadah yang ada.
“Terdapat pelbagai pilihan menu yang di sini. Bermula dari pelbagai hidangan lauk, kuih-muih, aneka minuman dan sebagainya.
“Hanya di Pelangi Foodkiosk ini kita boleh menikmati pelbagai hidangan tanpa perlu ke tempat lain.
“Oleh sebab itu, saya menyambut baik langkah kerajaan dalam menaik taraf kawasan penjaja Pelangi Foodkiosk ini kerana ia bukan sahaja membantu para penjaja, malah memudahkan urusan jual beli di sini,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD