
KUCHING: Spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam tempoh kurang 100 hari terus menjadi perhatian selepas kenyataan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, awal minggu ini.
Namun, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, enggan mengulas perkara itu ketika diajukan soalan oleh pemberita hari ini.
“Mana saya tahu, tanya Dr Sim. Saya tidak tahu,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Sim yang memberi bayangan bahawa PRN Sarawak mungkin diadakan dalam tempoh kurang 100 hari lagi.
Untuk rekod, pada Majlis Menaikkan Bendera sempena Ulang Tahun ke-67 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kuching pada Rabu, Dr Sim menggesa ahli parti mempergiat persiapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita sedang berada dalam satu ‘pertempuran’, saya rasa kurang daripada 100 hari lagi dari sekarang. Jadi, kita benar-benar perlu mula bergerak segera,” tegasnya.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak atau tarikh PRN negeri.
Oleh Masrin Affirah