KUCHING: Pusat beli-belah popular Boulevard Kuching menganjurkan program ‘Pengalaman Mengasyikkan dan Seni Interaktif’ bermula hari ini hingga 27 November.
Pengarah Eksekutif syarikat Kumpulan Boulevard, Derek Ling, berkata ibubapa boleh membawa anak-anak mereka ke situ mulai jam 10 pagi hingga 9 malam dan mereka boleh belajar mengenai hidupan laut dan muzik secara percuma.
“Program ini diadakan sebagai tanda tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pelanggan yang telah menyokong kami selama ini.
“Boulevard kini bergerak ke era pendigitalan. Kami melakukan ini untuk membolehkan orang ramai mengalami dan membawa keluarga serta anak-anak mereka kerana sesetengah kanak-kanak tidak berpeluang untuk datang dan melihat hidupan laut secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya membelanjakan hampir RM1 juta untuk projek itu di tiga lokasi Boulevard iaitu di Miri, Bintulu dan Kuching.
Sementara itu, Pengerusi MBKS Zon 3, Kaunselor Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Mok Chuang Ping yang mewakili Datuk Bandar, Dato Wee Hong Seng memuji usaha pusat beli-belah itu kerana sanggup melaburkan teknologi dari luar negara untuk pelanggan setia Boulevard serta rakyat Sarawak.
“Saya sangat gembira kerana mereka telah melatih kakitangan untuk melakukan projek ini. Saya amat menggalakkan syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama mengambil inisiatif seperti ini iaitu membawa masuk teknologi ICT untuk rakyat negeri ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, layari facebook (https://www.facebook.com/boulevardshoppingmall/), instagram (boulevardshoppingmall_kuching) dan laman sesawang (https://boulevardmall.my/).
Oleh NUR AIN OTSMAN