PAKAN, 17 November: Rumah Kanyan di Nyalak Ladong yang menempatkan 77 isi rumah berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti menerusi pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM500,000 di bawah Program Kampung Angkat MADANI.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, peruntukan tersebut membolehkan pelbagai kemudahan dinaik taraf.
Katanya, projek yang dilaksanakan merangkumi kerja pembersihan kawasan, pembinaan Rumah Biro Wanita, pintu masuk, penambahbaikan jalan serta penyediaan kemudahan rekreasi.
“Pembangunan ini turut menyokong potensi Rumah Kanyan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti dengan keunikan tersendiri.
“Rumah panjang yang dibina daripada kayu tebelian dan keindahan sungai di sekitarnya menjadi tarikan pelancong termasuk mereka yang gemar mandi dan bersantai berdasarkan landskap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat MADANI di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong kelmarin.
Katanya, daripada lebih 400 projek Kampung Pemulihan MADANI yang dilaksanakan di seluruh negara, Sarawak menerima 19 projek termasuk satu yang berpusat di kawasan Parlimen Julau menerusi Rumah Kanyan.

Larry turut memuji usaha penduduk yang bekerjasama menjayakan pembangunan rumah panjang tersebut sehingga berpotensi menjadi antara ikon komuniti di kawasan Pakan.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh masyarakat Nyalak Ladong atas usaha gigih dan kerjasama mereka dalam membangunkan rumah panjang tersebut menjadi salah satu ikon masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Larry turut menyerahkan geran berjumlah RM40,000 kepada masyarakat Rumah Kanyan bagi membantu memenuhi keperluan setempat.
Beliau berharap peruntukan tersebut dimanfaatkan secara berkesan, termasuk bagi meningkatkan kemudahan komunikasi dan membaiki prasarana yang masih memerlukan perhatian.
“Saya berharap bantuan kewangan dapat digunakan dengan baik termasuk untuk membeli peralatan Starlink bagi menambah baik akses internet dan membaiki kemudahan yang memerlukan perhatian,” katanya lagi.
Penambahbaikan capaian internet itu juga dilihat dapat melengkapkan pembangunan kemudahan asas di Rumah Kanyan, terutama dalam menyokong aktiviti penduduk dan usaha memperkenalkan kawasan tersebut kepada pengunjung.
Oleh Earl Anek




