Tapak baharu beri harapan Klinik Kesihatan Biawak dibina semula

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LUNDU: Projek pembinaan semula Klinik Kesihatan Biawak kini beralih kepada tapak baharu di Kampung Jantan selepas lokasi asal di Kampung Tanjam/Opek didapati memerlukan kos pembangunan yang jauh melebihi peruntukan ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, anggaran kos bagi membangunkan klinik di lokasi asal meningkat kepada sekitar RM54 juta, sedangkan peruntukan awal projek hanya RM15 juta.

Katanya, tapak di Kampung Jantan kini dikenal pasti sebagai pilihan yang lebih sesuai dari segi kos dan lokasi bagi membolehkan projek kemudahan kesihatan itu diteruskan.

 BILLY Sujang ketika meninjau tapak cadangan baharu Projek Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak di Kampung Jantan, Lundu, hari ini. Foto UKAS

“Dengan adanya tapak alternatif ini, kita berharap proses perancangan dapat dipermudahkan dan projek pembinaan semula klinik dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

“Yang penting, penduduk Biawak dan kawasan sekitar akan mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan ke tapak cadangan Projek Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak di sini, hari ini.

BILLY Sujang bersama rombongan ketika meninjau tapak cadangan baharu Projek Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Biawak di Kampung Jantan, Lundu, hari ini. Foto UKAS

Cadangan projek itu merangkumi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 yang akan menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuk rawatan kecemasan, kesihatan ibu dan anak, pergigian serta radiologi.

Kemudahan berkenaan turut dirancang dilengkapi kuarters untuk menempatkan kakitangan kesihatan.

Billy berkata, pembangunan kemudahan kesihatan yang lebih lengkap amat penting bagi meningkatkan akses penduduk luar bandar terhadap perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Beliau berharap penilaian terhadap tapak baharu serta proses perancangan projek dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pembinaan semula klinik berkenaan dimulakan dalam tempoh terdekat.