SINGAPURA: Singapura semalam mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion (S$1=RM3.174) bagi menyalurkan kemudahan bersasar dan segera untuk kumpulan berpendapatan rendah serta mudah terjejas akibat tekanan inflasi.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) republik itu, pakej yang akan turut memberi bantuan lanjut kepada syarikat-syarikat tempatan bagi transformasi perusahaan dan tenaga kerja, telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong.
“Ini bersandarkan langkah-langkah sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan April 2022.
“Pakej ini dibiayai menerusi pulangan fiskal yang mengatasi jangkaan untuk tahun kewangan 2021, didorong oleh peningkatan pendapatan akibat pemulihan ekonomi lebih kukuh pada 2021 susulan penurunan perbelanjaan daripada anggaran langkah-langkah menangani Covid-19 seperti varian Omicron yang kurang serius daripada jangkaan.
“Ini juga tidak akan membabitkan pengeluaran seterusnya daripada rizab sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut MOF, peperangan di Ukraine yang masih berterusan dan sekatan Covid-19 di beberapa negara, telah menjejaskan rantaian bekalan dan melonjakkan harga tenaga dan makanan.
“Faktor-faktor ini telah menyebabkan kenaikan inflasi yang ketara dan melebihi jangkaan di serata ekonomi utama. Malah, inflasi global juga berkemungkinan kekal tinggi untuk beberapa waktu dan terus meningkat sebelum kembali stabil.
“Begitu juga di Singapura, kita perlu bersedia menghadapi kenaikan harga untuk beberapa bulan akan datang, terutama bagi harga tenaga yang berkemungkinan kekal tinggi pada separuh kedua tahun ini,” kata kementerian itu.
Pakej bantuan itu antara lainnya akan menyaksikan kira-kira 1.5 juta rakyat Singapura layak menerima Bayaran Baucar GST Khas sehingga S$300 pada Ogos 2022.
Selain itu, Kredit Utiliti Isi Rumah S$100 akan disalurkan kepada setiap isi rumah bagi membantu mereka menampung bil berkaitan.
MOF berkata, kenaikan harga minyak juga telah meningkatkan kos bagi kebanyakan individu bekerja sendiri yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari sumber rezeki manakala larangan eksport ayam hidup dari Malaysia telah menjejaskan mata pencarian rumah sembelih terbabit.
“Kita akan memberi bantuan bersasar kepada kumpulan ini,” katanya.
Sebanyak 11 rumah sembelih ayam Singapura dengan pekerjanya bergantung hidup kepada bekalan ayam hidup, akan diberi pengecualian Levi Pekerja Asing selama sebulan.
“Bantuan ini dapat mengekalkan keupayaan industri itu berikutan larangan eksport terbabit,” katanya.
Pada masa sama, pakej bantuan itu akan membolehkan penyewa utama teksi dan pemandu kereta sewa persendirian, menerima bantuan sekali gus sebanyak S$150 pada Ogos 2022.
Bagi perniagaan, MOF berkata secara amnya, kerajaan akan melaksanakan langkah yang dapat membantu syarikat menangani peningkatan kos tenaga menerusi pembiayaan pelaburan bersama dalam peralatan cekap tenaga.
“Langkah ini lebih mampan dalam membantu perniagaan-perniagaan ini menguruskan kenaikan harga tenaga yang di luar kawalan kita,” katanya.
Satu Geran Kecekapan Tenaga baharu akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor Perkhidmatan Makanan, Pembuatan Makanan dan Runcit mendapat sokongan sehingga 70 peratus bagi menggunakan peralatan cekap tenaga dalam kategori yang telah diluluskan.
“Sektor-sektor ini mengalami impak yang ketara akibat kenaikan harga elektrik serta kesannya terhadap keseluruhan kos perniagaan mereka,” kata MOF.
Menurutnya, bagi membantu perusahaan tempatan menangani kebimbangan mengenai aliran tunai, Skim Pembiayaan Perusahaan – Pinjaman Perdagangan akan dipertingkatkan dengan kuantum maksimum pinjaman dinaikkan kepada S$10 juta daripada S$5 juta mulai 1 Julai, 2022 hingga 31 Mac, 2023.
Kerajaan juga akan terus menyediakan 70 peratus perkongsian risiko bagi skim terbabit sepanjang tempoh berkenaan. – Bernama