
ENGKILILI: Penghuni di Rumah Sibat Merindun di sini kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan runtuhan yang berlaku di belakang rumah panjang terbabit, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada penduduk kampung sekitar 9.40 pagi berhubung kejadian tanah susur tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota APM mendapati runtuhan tanah berlaku di kawasan belakang rumah pengadu di bilik bernombor lima.
“Penghuni rumah tersebut memaklumkan kejadian tersebut berlaku di kawasan rumah beliau seawal 7.14 pagi disebabkan hujan yang berterusan dari semalaman,” katanya.
Desem berkata kelebaran tanah susur adalah sepanjang 7.5 meter dari belakang rumah pengadu.
“Sebagai langkah keselamatan penduduk kampung, anggota APM mengambil tindakan memasang pita keselamatan di tempat kejadian.
“Anggota APM telah menasihati penghuni rumah panjang yang terlibat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling terutamanya pada musim hujan,” katanya.
Desem menambah, insiden tersebut tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan, dan jika ada sebarang kes kecemasan, sila hubungi nombor talian kecemasaan PKOD Lubok Antu ditalian 083-584639.
Oleh Adi Saparman