SARIKEI: Usaha memastikan warisan rumah panjang terus dikenali generasi baharu menjadi antara objektif penganjuran Heritage Glow: Discovering Longhouse Culture yang memberi peluang kepada ahli Junior Chamber International (JCI) mengalami sendiri kehidupan dan budaya masyarakat rumah panjang.
Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada ahli JCI mengenai keunikan warisan, makanan tradisional dan kehidupan komuniti rumah panjang, sekali gus memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya Sarawak.
“Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada ahli JCI Sarikei mengalami sendiri, mengenali dan menghargai budaya rumah panjang dengan lebih dekat.
“Melalui pengalaman secara langsung bersama komuniti, kita mahu mereka bukan sahaja mengetahui mengenai budaya ini, tetapi turut memahami kepentingan untuk bersama-sama memelihara dan meneruskannya kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, program tersebut disertai kira-kira 25 ahli daripada JCI Jalan Tanjung Kidurong, JCI Kuching, JCI Seduan, JCI Sarikei dan JCI Sibu Jaya di Rumah Kinchu Ajan, Batu 8, Jalan KJD, Ulu Mador, Meradong pada semalam.
Program yang bermula 8.30 pagi tersebut membawa konsep ‘mengalami, menghargai dan memelihara’ selaras dengan usaha memberi pengalaman lebih dekat mengenai kehidupan masyarakat rumah panjang.
Tambahnya, antara pengisian yang diketengahkan ialah pengenalan kepada makanan dan minuman tradisional termasuk air tuak dan kuih penyaram, selain aktiviti permainan, cabutan bertuah serta pengalaman kebudayaan bersama komuniti setempat.
“Program ini juga menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dan komuniti setempat sambil kita belajar mengenai budaya serta tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak
“Semangat ‘Satu Budaya, Satu Komuniti, Satu Masa Depan’ yang dibawa menerusi program itu turut menggambarkan kepentingan masyarakat untuk bersama-sama menghargai akar budaya dan memastikan warisan tempatan terus relevan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Beliau berharap pengalaman diperoleh ahli JCI menerusi Heritage Glow dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepelbagaian budaya negeri ini, selain menggalakkan lebih banyak usaha melibatkan golongan muda dalam pemeliharaan warisan.
“Warisan bukan sekadar untuk kita lihat atau kenang, tetapi perlu dialami, dihargai dan dipelihara supaya generasi akan datang masih berpeluang mengenalinya,” katanya.
Oleh Earl Anek




