ABIDJAN: 13 orang disahkan maut sementara yang lain termasuk kanak-kanak hilang dan dikhuatiri mati dalam kejadian tanah runtuh dan hujan lebat yang meranapkan rumah serta menggantung laluan kereta api di pinggir bandar utama Ivory Coast, Abidjan.
Beberapa kanak-kanak turut meninggal dunia atau hilang di pinggir bandar Anyama.
Ketua Majlis Daerah Abidjan, Vincent Toh Bi berkata, angka kematian terkini adalah seramai 13 orang dan 10 lagi dimasukkan ke hospital dengan 20 rumah musnah sepenuhnya sambil usaha pencarian diteruskan.
“Saya kehilangan anak lelaki berusia tiga tahun dan masih mencari mayatnya,” kata Aboubacar Dagnon selepas rumahnya musnah sambil menambah sebuah terowong saliran sudah tersumbat selama berbulan-bulan hingga menyebabkan takungan air terbentuk.
Sementara itu, seorang penduduk lain mengatakan sebahagian bukit pecah dan runtuh menghempap rumah sekitar jam 8.00 pagi selepas saluran roboh.
Musim hujan yang bermula Mei dan berakhir Julai kerap menyebabkan berlaku tanah runtuh dan banjir di Abidjan iaitu kawasan pengeluar koko tertinggi di dunia telah mengakibatkan malapetaka di kota-kota kecil yang terbentuk di lereng bukit yang terhakis di bandar tepi laut yang beralun.
Bandar itu menempatkan kira-kira lima juta orang kebanyakannya tinggal di kawasan penempatan yang tidak menentu di kawasan yang mudah dilanda banjir.
Berikutan banjir pada 2018 yang mengakibatkan 18 kematian, pihak berkuasa terpaksa memusnahkan perumahan di bahagian paling berisiko di bandar itu yang mana penduduk membina rumah di ruang kosong yang dijumpai. – AFP