LAWAS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi input kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata terpulang kepada SPR untuk menentukan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
Katanya, dalam proses itu Sabah dan Sarawak memang menuntut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen.
“Jadi ini penting tetapi dalam persempadanan ini kita tumpu dulu pada kawasan untuk Dewan Undangan Negeri.
“Proses perbincangan berhubung persempadanan semula kerusi Parlimen dan DUN masih berjalan antara SPR dan kerajaan GPS.
“GPS sebagai parti pemerintah di Sarawak terus memberi syor dan cadangan daripada rakan dalam parti komponen GPS untuk melihat perkara ini dilaksanakan.
“Namun keputusan akhirnya terletak sepenuhnya di tangan SPR,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di sini hari ini.
Sarawak dan Sabah ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen, iaitu 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Ia hanya membabitkan 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 74 kerusi yang sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga atau 35 peratus seperti dijanjikan melalui Perjanjian Malaysia (MA63), 61 tahun lalu.
Awang Tengah berkata GPS memang menuntut kuota kerusi 35 peratus itu seperti termaktub dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan Setiausaha Eksekutif PBB negeri, Datuk Awang Bujang Awang Antek.
Oleh ADENG EDRUS