MUSNAH… Pihak polis dan orang ramai cuba mencari mangsa di beberapa rumah yang musnah akibat gegaran 7.1
magnitud yang telah ‘menggoncangkan’ Pulau Luzon di utara Filipina pagi semalam. • Foto AFP
VIGAN: Kebanyakan penduduk di Abra, Filipina terpaksa bermalam di luar rumah selepas gempa bumi kuat melanda pulau utara Luzon, yang turut mengorbankan empat orang manakala lebih 130 cedera.
Beberapa orang di kawasan itu meluahkan mereka terlalu takut untuk pulang ke rumah, sebaliknya hanya berkhemah bersama keluarga di kaki lima dan di taman bagi memastikan keselamatan terjamin.
Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud itu telah ‘menggoncangkan’ pulau Luzon di utara Filipina pagi semalam dan merosakkan rumah serta bangunan termasuk struktur warisan dan gereja berusia berabad lamanya.
Ahli seismologi merekodkan, hampir 800 gegaran susulan.
Seorang penduduk di bandar Bangued di Abra, Erlinda Bisares, yang berada hanya 11 kilometer dari pusat gempa berkata, dia dan keluarganya tidak mahu mengambil risiko untuk pulang ke rumah.
“Kami sangat takut, kami tidak kisah mengenai barangan kami dan hanya bergegas keluar. Hidup lebih penting,” katanya kepada CNN Filipina, sambil mengimbas kembali bagaimana gempa bumi itu menggegarkan rumah dan perabotnya.
Jurucakap agensi bencana negara, Mark Timbal memberitahu pemberita jumlah kematian akibat gempa itu sudah disemak beberapa kali dan jumlah yang cedera meningkat kepada lebih 130 orang.
Filipina terdedah kepada bencana alam kerana terletak dalam kawasan ‘Ring of Fire’ Pasifik yang aktif secara seismik, gunung berapi dan garis sesar yang melengkung mengelilingi pinggir Lautan Pasifik.
Gempa bumi kerap berlaku dan terdapat purata 20 taufan setiap tahun dengan sesetengahnya mencetuskan tanah runtuh yang boleh mengakibatkan maut.
Setiausaha Kerja Raya, Manuel Bonoan, berkata kepada radio DZBB, operasi pembersihan sedang dijalankan dan agensinya juga mula mengalihkan serpihan dari jalan utama di Abra dan di daerah lain yang terjejas akibat gelongsor batu yang dicetuskan oleh gempa bumi.
Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ricardo Jalad, pula berkata kepada stesen radio DZRH, beberapa bahagian Abra masih terputus bekalan elektrik dan air serta mengalami gangguan komunikasi. – AFP