Taiwan jadi sasaran perluasan pasaran Lada Sarawak

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN... Priscilla Anne Grunsin, Jaime Yeoh, Florence Sanjan, Bong Yik Jui, Gura Langgong dan Basil Linang bergambar kenangan pada kunjungan hormat ke MPB. Foto MPB

KUCHING: Hubungan diplomatik serta kerjasama perdagangan antara Malaysia dan Taiwan dijangka terus memperkukuh prospek Lada Sarawak di pasaran antarabangsa menerusi kunjungan hormat Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok ke Lembaga Lada Malaysia (MPB), semalam.

Kunjungan berkenaan melibatkan Bong Yik Jui yang bakal menerajui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) di Taipei sebagai Presiden bertaraf Ketua Perwakilan mulai 12 Ogos ini.

Turut menyertai kunjungan itu ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada (IKL), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Jaime Yeoh.

Menurut kenyataan MPB hari ini, sesi berkenaan menjadi platform perkongsian mengenai perkembangan industri lada negara, selain membincangkan potensi memperluaskan pasaran Lada Sarawak di Taiwan.

TAKLIMAT INDUSTRI LADA… Pegawai Lembaga Lada Malaysia (MPB) memberi penerangan kepada Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Bong Yik Jui, mengenai perkembangan industri lada negara serta potensi perluasan pasaran Lada Sarawak di Taiwan ketika kunjungan hormat beliau ke Ibu Pejabat MPB. Foto MPB

Taiwan kini merupakan destinasi eksport keenam terbesar bagi lada Malaysia dan mempunyai prospek besar untuk diperkukuh menerusi kerjasama perdagangan serta strategi promosi yang lebih berkesan.

Selain menghadiri sesi taklimat di Ibu Pejabat MPB, Bong turut dibawa melawat Saraspice Sdn. Bhd. bagi meninjau penghasilan produk nilai tambah berasaskan lada, selain melihat pendekatan syarikat itu dalam memperkukuh penjenamaan dan pemasaran Lada Sarawak di peringkat antarabangsa.

Delegasi MPB diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Florence Sanjan, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Apoi Wan, serta pegawai-pegawai MPB.

MPB berkata, kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi memperluaskan pasaran Lada Sarawak di peringkat global.

Oleh Afiq Sallehi