
SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melaksanakan usaha tanpa henti untuk memastikan masyarakat yang berhak khususnya golongan asnaf mendapat hak mereka.
Pengurus Besar TBS, Mejar Datu Abang Mohd Shibli Awang Mohd Nailie berkata, tahun lepas TBS telah mengagihkan sebanyak RM112 juta kepada mereka yang berhak dan mereka yang terkesan dalam aspek tertentu.
“Inilah usaha kami yang tidak putus-putus, kita memastikan bahawa masyarakat yang berhak ini khususnya asnaf mendapat hak mereka melalui empat program antaranya ialah program untuk pendidikan, kebajikan, institusi Islam yang menjalankan usaha membantu dan meningkatkan kemahiran dalam kalangan anak-anak asnaf dan juga mereka boleh dikatakan di bawah B40.
“Apa yang penting di sini, apabila kita mampu menimbulkan keyakinan kepada masyarakat, banyak yang akan menyumbang dan mengeluarkan zakat mereka dan daripada dana-dana inilah kita gunakan untuk bergerak, untuk memastikan semua yang berhak itu dapat kita bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Bersama Pelanggan Ramah Mesra Aidilfitri Bahagian Sibu Tahun 2025/1446H, di Kompleks Islam Sarawak, Sibu, hari ini.
Mengulas lanjut tentang program tersebut, Abang Mohd Shibli memberitahu, hari ini adalah hari yang pertama untuk mereka melaksanakan Ramah Tamah Aidilfitri untuk zon tengah meliputi Bahagian Sibu, Mukah dan Sarikei.
“Tujuan kita adalah untuk mengucap terima kasih kepada semua pelanggan kami, rakan strategik dan juga jabatan-jabatan, agensi-agensi yang telah banyak membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami.
“Dan sempena Hari Raya ini, inilah peluang kita saling bersemuka dan memohon maaf zahir dan batin,” katanya.
Beliau juga menjangka menerima kunjungan sekitar 1,000 orang untuk majlis hari ini.
“Dan tempat lain nanti, mereka akan membuat secara bahagian, Mukah akan dibuat di Mukah, begitu juga Sarikei. Untuk Sibu kita kumpulkan untuk zon tengah.
“Kita sudah laksanakan untuk zon lain seperti Bintulu dan sebagainya. Kami akan ke Miri pada 23 April ini dan Kuching 21 April.
“Jadi, kita ingin mengajak para pelanggan kami, para penyokong dan yang selalu berhubung dengan kami turut bersama meraikan Aidilfitri ini,” kata beliau lagi.
Oleh Akun Giman