
KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatat kehadiran terbesar dalam sejarah penganjuran Hari Terbuka apabila menerima lebih 1,000 pengunjung, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 4.00 petang di kampusnya di Jalan Simpang Tiga itu menarik minat pelajar serta ibu bapa untuk mendapatkan maklumat mengenai program pengajian, kehidupan kampus dan bantuan kewangan yang ditawarkan.
Antara tumpuan utama pengunjung ialah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES),inisiatif kerajaan Sarawak yang diperkenalkan bagi membuka peluang kepada rakyat negeri ini melanjutkan pengajian tinggi di institusi milik Sarawak bermula tahun ini.
Menerusi skim tersebut, yuran pengajian bagi program ijazah sarjana muda yang diluluskan akan ditanggung, selain elaun tambahan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan per kapita RM1,500 ke bawah.
Di Swinburne Sarawak, FTES merangkumi 22 program ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan profesional selaras dengan keperluan bakat negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Sambutan luar biasa terhadap program berkenaan mencerminkan impak FTES dalam memperluas akses pendidikan tinggi, khususnya kepada keluarga luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan.
Sepanjang program, pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada kaunselor pendidikan dan pakar akademik, selain menghadiri sesi taklimat khas FTES yang mendapat sambutan menggalakkan.

Seorang ibu bapa, Dr Jasmine Andrew, menyifatkan skim berkenaan sebagai bantuan besar kepada keluarga. Katanya, FTES meringankan beban kewangan ibu bapa sekali gus memberi peluang kepada anak-anak melanjutkan pelajaran.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Swinburne Sarawak sebagai institusi berjenama antarabangsa yang menawarkan pendidikan berkualiti.

Seorang lagi ibu bapa, Jennifer Lai, turut meluahkan rasa gembira dengan inisiatif kerajaan Sarawak itu dan menggalakkan keluarga lain merebut peluang berkenaan.

Dalam kalangan pelajar pula, Muhammad Adam Haiqal menyifatkan FTES sebagai peluang besar untuk melanjutkan pengajian di universiti swasta, khususnya bagi mereka dari kawasan luar bandar.

Seorang lagi pelajar, Mohammad Fikri Hakim, berkata skim tersebut telah mengubah persepsi keluarganya terhadap pendidikan universiti swasta yang sebelum ini dianggap mahal.
Selain taklimat akademik, pengunjung turut berpeluang meneroka kampus melalui lawatan berpandu serta berinteraksi dengan pelajar sedia ada.
Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains turut mengadakan pameran interaktif, termasuk demonstrasi robot yang menjadi tarikan utama pengunjung, khususnya golongan muda.
Turut serta dalam program tersebut ialah wakil Yayasan Sarawak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Malaya yang menyediakan maklumat lanjut mengenai pembiayaan dan laluan pengajian.
Pengambilan baharu bagi program asas di Swinburne Sarawak bermula 27 April 2026, manakala program diploma dan ijazah masing-masing bermula pada 22 Jun dan 1 September 2026.