Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Program STEM Catalyst 2026 perkukuh minat pelajar dalam bidang teknologi
  • PENDIDIKAN

Program STEM Catalyst 2026 perkukuh minat pelajar dalam bidang teknologi

Utusan Sarawak 5 hours ago
UNTUK KENANGAN... Dr Safiee merakam kenangan bersama para pelajar peserta Program STEM Catalyst 2026 di SMK TPDPH Normah.

DARO: Usaha memperkukuhkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak terus diperkasa apabila Program STEM Catalyst 2026 menyasarkan penyertaan 6,000 pelajar daripada 160 sekolah di seluruh negeri tahun ini.

Program anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) serta beberapa agensi lain itu berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah (TPDPH) Normah, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program berkenaan merupakan edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2024.

Menurutnya, sebelum ini program sama telah melibatkan kira-kira 8,000 pelajar daripada 170 sekolah, sekali gus membuktikan sambutan yang semakin memberangsangkan terhadap bidang STEM.

“Program ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh pendidikan STEM dalam kalangan pelajar, terutama dalam menghadapi cabaran era digital dan teknologi masa depan,” katanya kepada Utusan Sarawak selepas merasmikan program tersebut, hari ini.

Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar memilih aliran STEM menjelang 2030.

“Kita memerlukan generasi yang berkemahiran dalam bidang ini bagi memastikan negeri dan negara mampu bersaing dengan negara maju, khususnya dalam sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), industri pembuatan dan inovasi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pendekatan pembelajaran yang menarik perlu diperluas di sekolah rendah dan menengah, selain peranan ibu bapa dalam memupuk minat anak-anak sejak di rumah.

“Latihan guru juga perlu dipertingkatkan agar mereka lebih kompeten dan menjadi contoh kepada pelajar, di samping penyediaan kemudahan lengkap seperti makmal sains dan peralatan teknologi moden,” ujarnya.

TERTARIK… Dr Safiee ketika melawat pameran pada Program STEM Catalyst 2026 di SMK TPDPH Normah.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak menyediakan pembiayaan penuh bagi 64 kursus berteraskan STEM di empat universiti milik kerajaan Sarawak sebagai galakan kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.

Pada majlis sama, Dr Safiee turut mengumumkan projek pembinaan bangunan tambahan lapan bilik darjah dan kemudahan lain di SMK TPDPH Normah bernilai RM31.51 juta yang telah bermula pada 13 Mac 2026 dan dijangka siap pada 12 Mac 2028.

Projek tersebut melibatkan pembinaan blok makmal, tiga bilik darjah dan dua bengkel Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dewan serbaguna, naik taraf padang, tambahan ruang parkir, serta penyediaan perabot, peralatan dan kelengkapan mengikut piawaian.

Selain itu, enam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Daro iaitu SMK TPDPH Normah, SK Camporan Daro, SK Hijrah, SK Nangar, SK Tebaang dan SK Ulu Daro turut menerima geran sebanyak RM6,000 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan RM36,000.

Turut dilaksanakan beberapa projek di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM520,000 termasuk menaik taraf surau dan dewan sekolah serta baik pulih Jalan Susur Gajah di SMK TPDPH Normah bagi kemudahan pelajar.

Beliau berharap semua inisiatif tersebut dapat meningkatkan kualiti pembelajaran serta minat pelajar terhadap bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Michelle Lim Chia Wun, Penolong Setiausaha Bahagian Pendidikan Rendah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Bakat Wong Li Ching, Pengetua SMK TPDPH Normah Pauline Charles Lemi dan Pengerusi Bersama Program STEM Catalyst 2026 Dr Elton Wong Kee Sheng.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: 12 Pelajar SM Katolik Sibu terima insentif berjumlah RM3,900

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.