KUCHING: Dua pasukan pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, mengharumkan nama universiti selepas masing-masing meraih tempat Naib Juara Pertama dan Naib Juara Kedua dalam Pertandingan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Sarawak Microelectronics Design (SMD).
Pasukan 1OP4U yang dianggotai Stephen Ling Yong Hua, Samuel Teo Zhen Hong, Evan Wong Kuan Seng dan Chang Xiang Peng meraih tempat Naib Juara Pertama, manakala pasukan Swinburne 1 yang terdiri daripada Mohanad Taher Mohamed Sayed Roshdy, Anson Wong Saieng dan Jaswyn Lim Ming Hou menduduki tempat Naib Juara Kedua.
Pertandingan selama 16 bulan yang bermula pada Mei 2025 itu memuncak pada peringkat akhir yang berlangsung pada 15 September lalu, dengan kedua-dua pasukan Swinburne Sarawak bersaing bersama enam pasukan lain dari Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Sepanjang pertandingan, kedua-dua pasukan menunjukkan kemahiran dalam mereka bentuk dan membangunkan litar elektronik, dengan idea masing-masing dibangunkan daripada peringkat reka bentuk awal hingga aplikasi praktikal.
Menurut Swinburne Sarawak dalam satu kenyataan, reka bentuk pasukan 1OP4U berjaya diaplikasikan dalam sistem penguat audio, manakala pasukan Swinburne 1 menghasilkan sistem elektrokardiogram (ECG).
“Pertandingan ini bukan sekadar cabaran teknikal, sebaliknya merupakan pengalaman pembelajaran transformatif yang membentuk pelajar menjadi bakal jurutera yang lebih berkemahiran.
“Sepanjang 16 bulan, mereka memperdalam kepakaran dalam reka bentuk IC analog, merangkumi reka bentuk skematik bahagian hadapan dan pelaksanaan susun atur fizikal bahagian belakang menerusi aliran reka bentuk berorientasikan industri,” menurut kenyataan itu.
Swinburne Sarawak berkata, menerusi pelbagai proses reka bentuk, pengoptimuman, penyelesaian masalah dan pengesahan, pelajar memperoleh pemahaman menyeluruh mengenai keseluruhan kitaran reka bentuk IC, daripada konsep awal sehingga reka bentuk sedia untuk pengeluaran.
Menurut kenyataan itu, pertandingan berkenaan turut membantu pelajar memperkukuh kemahiran pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, pengurusan projek, komunikasi, kerja berpasukan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam keadaan tertekan.
Pasukan 1OP4U berkata, kejayaan meraih tempat Naib Juara Pertama merupakan satu pencapaian membanggakan selepas mereka menghabiskan masa selama 16 bulan memperkemas kemahiran dalam reka bentuk IC analog, selain mengatasi pelbagai cabaran teknikal sepanjang proses tersebut.
“Pencapaian sebagai Naib Juara Pertama merupakan satu kejayaan yang membanggakan buat kami dan kami berterima kasih atas bimbingan penasihat fakulti serta sokongan berterusan universiti.
“Kejayaan ini mengukuhkan minat kami terhadap mikroelektronik dan kejuruteraan semikonduktor, dan kami berharap dapat mengaplikasikan kemahiran ini dalam kerjaya masa depan,” katanya.
Sementara itu, pasukan Swinburne 1 berkata, pertandingan tersebut memberi peluang berharga untuk menghubungkan pengetahuan teori dengan aplikasi reka bentuk IC dalam situasi dunia sebenar, termasuk pembangunan sistem ECG.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Dr Lee Hui En, berkata kejayaan kedua-dua pasukan mencerminkan asas teknikal yang kukuh dalam reka bentuk IC analog, selain keupayaan mereka bekerjasama dan menghasilkan inovasi dalam keadaan mencabar.
“Pencapaian ini menunjukkan kualiti bakat dalam program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik kami serta menyerlahkan peluang menarik yang tersedia dalam industri semikonduktor yang berkembang pesat,” katanya.
Swinburne Sarawak berkata, reka bentuk IC analog memainkan peranan penting dalam teknologi moden, termasuk telefon pintar, peranti perubatan, sistem komunikasi tanpa wayar, peralatan audio dan penderia Internet Benda (IoT).
Pertandingan Reka Bentuk IC SMD yang dianjurkan SMD Semiconductor itu merupakan antara program pembangunan bakat semikonduktor komprehensif di Sarawak, dengan menghimpunkan pelajar kejuruteraan bagi membangunkan kepakaran tempatan dalam reka bentuk IC analog, selain menyokong visi Sarawak untuk mengembangkan industri semikonduktor.





